InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Tuesday, December 14, 2010

"Encik, Gaji Saya Bila Nak Naik?"

Assalamualaikum.

"Encik, gaji saya bila nak naik?" Tiba-tiba sahaja Z bertanya kepada saya di suatu pagi di premis niaga.  Saya terkejut dan separuh hairan kerana menerima soalan itu dari Z.

Bukanlah memeranjatkan untuk seorang kakitangan sesebuah perniagaan bertanyakan bila kenaikan gajinya yg seterusnya. Bukan pula saya tak mahu menaikkan gaji kakitangan. Soalan itu mengejutkan saya kerana Z belumpun sampai sebulan bertugas sebagai juruteknik komputer bersama saya. Memang dia nampak rajin dan selesaikan banyak tugasannya dengan kadar yang agak pantas dalam sebulan itu. Kalau sudah berbulan-bulan begitu, hampir pasti akan saya pertimbangkan segera kenaikan gajinya. Namun soalan kenaikan gaji dari orang muda yang belumpun sebulan bertugas itu saya rasakan agak keterlaluan. Barangkali beliau 'pulun' sungguh sebulan itu sekadar nak tunjuk rajin supaya gajinya cepat dinaikkan.

Sekadar untuk mengorek lebih dalam, saya balas soalan itu dengan satu deret  soalan pula. Serangan balas lah kiranya. "Nak naik gaji? Kan belum sebulan pun kerja di sini, takkan dah nak minta naik gaji? Mengapa cepat sangat nak naik gaji? Saya sebagai pengurus rasakan awak belum layak untuk dinaikkan gaji!". "Tapi bukan ke encik yang kata saya akan dinaikkan gaji berdasarkan prestasi? Saya dah buat banyak kerja dengan baik setakat ini, patutlah kalau saya mintak naik gaji!" Z menjawab pantas dengan suara yg sedikit tinggi. "Saya perlukan banyak duit... Nak bayar sewa rumah, nak bayar bil handphone, nak belanja-belanja makwe, ......, ..... " Z bercerita panjang tentang tujuannya minta dinaikkan gaji.

"Kalau awak teruskan prestasi seperti selama ini, saya tentu akan naikkan gaji awak tak lama lagi. Yang pastinya bukan sekarang. Kalau rasa duit tak cukup, tak payah pakai handphone. Kalau rasa duit tak ada, tak usah sibuk nak belanja makwe. Belanja ikut gaji awak lah, bukan minta saya naik gaji sebab awak nak belanja. Lagipun, baru tak sampai sebulan kerja memang tak layak naik gaji. Kita ada peraturan di sini, bukan boleh buat sembarangan", hujah saya panjang lebar. Kami terus bersoal-jawab selama beberapa lama selepas itu. Dipendekkan cerita, Z berhenti kerja lebih kurang seminggu selepas menerima gajinya yang pertama. Saya rasa sungguh lega.

Saya juga pernah  berhadapan kerenah 'berani' dan kurang beradab seorang kakitangan wanita. Y seorang lepasan SPM, juga seorang muda, dalam lingkungan 21 tahun kalau tak silap. Apa yang berlaku, saya dapat kesan beliau menggunakan telefon perniagaan untuk menghubungi teman lelakinya semasa saya bertugas di luar. Saya dapat hidu sesuatu yang tidak kena bila pada satu bulan tu bil telefon perniagaan melonjak kepada hampir RM800, sedangkan tak pernah nilai bil melebihi RM350 sebelum itu. Bila disemak 'nombor-nombor ganjil dan mencurigakan' daripada senarai dalam bil telefon, saya hubungi satu persatu pemilik nombor. Sah, pekerja itu yang menyebabkan bil naik. Saya arahkan dia bayar semuala RM600 nilai bil yang dapat dikesan berkait dengannya. Selebihnya yang tidak dikesan berbulan-bulan sebelum itu, Allah sahaja yang tahu! Berkerut dahi saya memikirkan jawapan Y tentang salah lakunya itu, "Apa salahnya saya gunakan telefon tu... kan tiap-tiap bulan memang nak bayar juga bilnya kalau saya pakai ataupun tidak?" Jawapan yang pelik dan tidak cukup cerdik. Tak pasti apa orang muda ini fikirkan.

Pernah pula seorang pelajar praktikal (latihan industri) sains komputer  sebuah IPTA datang menjalani latihan di perniagaan saya. Biasalah tu, memang saya menerima ramai pelajar untuk latihan industri dari pelbagai IPT. Yang buat saya terkedu ialah sikapnya yang terlebih berani. Beberapa bulan selepas J (yang dalam pengajian peringkat diploma Sains Komputer) menjalani latihan, sebuah jabatan kerajaan meminta dibangunkan sebuah perisian komputer untuk kegunaan mereka. Sebaik sahaja saya mula berbincang dengan J untuk merancang pembangunan perisian itu, J dengan selamba menyuarakan, "Untuk program(perisian) ini, berapa encik nak jual kepada jabatan tu? Saya nak bahagian saya minima separuh daripada harga jualan encik!"

Mulanya saya sangka dia bergurau, tapi nyata bila ditanya beberapa kali, beliau memang serius. Huh, dalam hati saya berkata-kata. "Alahai, baru nak praktikal dah pandai nak mintak bayaran. Kerja pun belum tahu cantik mana, dah cuba tunjuk power!" Hasil program yang diciptanya tak berfungsi betul pun setelah lima bulan dikerjakan, namun tetap sibuk tanya "Bila encik nak bagi bayaran saya?" Disebabkan kes dia, saya tak pernah lagi dah ambil pelajar praktikal dari IPT itu, Serik sangat rasanya, cukuplah seorang itu.

Banyak lagi kesnya, terutamanya yang melibatkan pelajar praktikal. Ada yang selalu tidur di tempat tugasannya, tapi tak pula tahu malu bertanya-tanya di hujung bulan, "Encik, tak ada elaun ke untuk saya?" Ada yang tidak mahu membantu melayan pelanggan kerana katanya dia ditugaskan di bahagian lain. Ramai juga yang tidak mahu patuh arahan, tapi sibuk minta saya surat recommendation 'cemerlang' bila tamat latihan industri. Contohnya, pernah sekali itu seorang staf lelaki pergi menghantar barang tempahan sebuah jabatan dalam keadaan memakai cermin mata hitam dan topi beret di kepala.

Ada juga staf yang mencuri pelanggan perniagaan saya, dalam keadaan menggunakan kedai dan kemudahan saya. Kita yang bayar segala kemudahan, dia pula yang yang dapat keuntungan sedang gajinya juga ddibayar majikan. Macam-macam gelagat yang memalukan dan menjengkelkan. Padanlah ramai penganggur di kalangan orang Melayu, hatta graduan IPT sekalipun, andai inilah sikap yang diamalkan. Siapa yang mahu ambil orang-orang begini sebagai pekerja? Kalaupun diambil, majikan mana pula yang mahu simpan lama-lama pekerja yang macam ini?

Itulah antara pengalaman peribadi saya berhadapan dengan kerenah-kerenah negatif orang muda di perniagaan saya, Saya bentangkan pengalaman-pengalaman saya ini supaya orang-orang muda ambil pengajaran daripadanya. Buktikan kehebatan dan ketekunan kita dalam apa pun tugasan dan aktiviti hidup. Tunjukkan prestasi cemerlang di tempat kerja atau di manasahaja. Tunjukkan adab dan sopan dalam organisasi, dan pastikan tugasan yang diberikan kepada kita dibereskan dengan sempurna. Jangan jadi orang bermasalah dan jangan pula membawa masalah kepada orang lain. Ia boleh menjatuhkan maruah keluarga, bangsa dan agama.

Bagi orang muda yang berkerjaya, tak perlulah kita asyik  tanya majikan "Encik, bila saya nak naik gaji?" Jangan ingat soalan yang sebegitu menyebabkan orang akan mencapaikan hajat kita untuk naik gaji. Andai kita berjaya buktikan keupayaan dan kesungguhan kita dlam kerja, majikan yang waras dan prihatin tentu akan nyatakan sendiri, "A bin B, saya rasa awak dah layak untuk dinaikkan gaji!"

Apa yang penting, sentiasalah tingkatkan kualiti diri dan berikan sumbangan. Anda akan dapat ganjarannya, bila tiba masanya. Kalaupun kita kita tidak dapat kenaikan gaji atau kenaikan pangkat yang kita layak terima, yakinlah bahawa nilai diri kita tetap meningkat. Andai kita tinggalkan majikan yang menyekat peningkatan kita yang sepatutnya itu, ramai lagi majikan lain yang tahu menghargai keupayaan dan kesungguhan kita.

Monday, November 29, 2010

PRU13 Tahun Depan: Dah Mendaftar Jadi Pemilih?

"Ye ke PRU13 tahun depan?", jawab seorang pemuda di surau taman bila saya ajukan soalan, "Dah daftar ke mengundi untuk pilihanraya tahun depan?"

Sebenarnya saya sendiri tidak pasti. Memang di Malaysia ni siapa yang boleh pastikan bila pilihanraya umum (PRU)? Hanya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sahaja yang akan tahu awal tarikh mana-mana PRU. Ia suatu keadaan tidak demokratik dalam sistem yang kita panggil demokrasi. Kalau pilihanraya kecil lainlah ceritanya, sebab PRK biasanya diadakan sebab ada ADUN yang meninggal dunia.

Cuma banyak riak dan gelombang dalam negara yang bergerak dan berkocak seakan-akan membenarkan kemungkinan ini. Banyak projek mewah sedang berjalan atau akan dilancarkan, dengan harga jauh lebih tinggi berbanding anggaran profesional. Contohnya, Menara Warisan, Landasan Keretapi Berkembar ke Padang Besar, Projek Permata Pintar. Para pemimpin pula sibuk pusing kampung dan pekan melalui program Pemimpin Bersama Rakyat. Wang-wang sumbangan pun nampaknya mudah diminta dari para ADUN dan ahli parlimen (MP), meskipun banyak urusan pentadbiran jabatan dan kementerian kehausan bajet. Sedikit masalah dan kekecohan dalam parti-parti pembangkang pula sentiasa dikorek dan diperbesarkan setiap hari dalam media cetak dan elektronik.

Sudah jadi rahsia terbuka, keadaan semacam ini jadi gerak awalan kepada gerakerja pilihanraya Umum kerajaan BN sekian kalinya. Maka, berdasarkan sejarah pilihanraya di negara kita, memang PRU13 sudah hampir. Cuma tarikhnya masih dirahsiakan.

OK, kembali kita kepada cerita asal posting ini. Saudara/i berumur 21 tahun ke atas? Dah daftar jadi pengundi? Confirm ke? Kalau dah daftar, eloklah pergi semak dulu di web SPR. Takut-takut ada banyak maklumat salah atau tidak tepat. Contohnya masa PRU pada tahun 1999 dulu, ramai orang yang tinggal di sebuah bandar tapi didaftar di bandar lain pula!

Seorang sahabat ada mengingatkana saya dan kawan-kawan melalui email supaya mewarawarakan kepada generasi muda Gen-Y semua pakat mendaftar pada kesempatan yang terdekat ini. Menurut beliau, pastikan anda berbuat demikian sebelum 15 DISEMBER 2010 bagi membolehkan pendaftaran anda mempunyai tempoh masa yang memadai untuk diproses dalam suku ke-4 tahun 2010  (Oktober- Disember), walaupun suku ke-4 berakhir pada 31 Disember 2010. Ini berdasarkan jangkaan SPR tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk key in borang2 pendaftaran pemilih. Statistik pendaftaran suku ke-3 2010 menunjukkan bilangan pendaftaran mencecah 100 ribu di seluruh negara. Bilangan ini  dijangka bertambah di suku ke-4 ini. Ini kerana sekiranya PRU13 berlaku Mac/April 2011, SPR hanya akan mengguna pakai daftar pemilih induk yang dikumpulkan sehingga Disember 2010.

Untuk mendaftar, anda ada beberapa pilihan cara :

1) Sila ke pejabat POS berkomputer berdekatan
2) Pejabat SPR Negeri di negeri masing-masing.
3) Wakil-wakil SPR untuk pendaftaran pemilih
3) Sekiranya ingin mendaftar di alamat bermastautin, sila ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), buat permohonan
    tukar alamat. Lepas itu, pastikan buat permohonan mendaftar di pejabat POS atau pejabat SPR negeri.
4) Bagi kakitangan kerajaan/swastaa di luar negara, kunjungi atau hubungi Pejabat-Pejabat Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi
    & Konsulat Jeneral di negara anda berada sekarang. Sila klik pada http://www.kln.gov.my/bm/?page=mission

Mendaftar sebagai pemilih bukan lagi pilihan individu, dilakukan bila rasa rajin atau bila ada masa. Ia merupakan kewajipan asas seorang warganegara. Selain merupakan tanggung jawab kepada negara, ia juga tanggung  jawab memilih para pemimpin menurut Islam .Jika anda mengambil sikap tak peduli atau acuh-tak-acuh, anda sebenarnya merugikan Islam, masyarakat dan bangsa.

Peluang mengubah kepimpinan hanya berlaku sekali bagi setiap tiga atau empat tahun. Jadilah orang muda yang prihatin. Jangan biarkan peluang ini berlalu begitu sahaja! Malaysia perlukan lebih ramai pemilih yang analitikal dan kritis untuk mengisi kertas-kertas undi  dalam PRU13 nanti. Cepat daftarkan diri sebagai pengundi!

Kalaupun anda sudah mendaftar, jangan lupa semak maklumat pendaftaran anda di http://www.spr.gov.my/. Pastikan semua maklumat tepat. Ajak kawan, jiran dan saudara-mara untuk mendaftar sama!

Monday, November 15, 2010

Korban Ke Luar Dari Dalam

Bismillahirrahmanirrahim.

10 Zulhijjah 1431H akan menjelma esok untuk kita sama-sama rayakan dan raikan. Seluruh angkatan umat Islam di seantero dunia ini bakal menyambut Aidil Adha esok, insya Allah. Maka akan banyaklah lembu, kambing, biri-biri dan unta yang tumbang  tanda ibadah orang-orang yang beriman. Memercik dan mengalirlah darah haiwan-haiwan korban ini, pahalanya terus sampai ke sisi Allah andai keikhlasan mengiringi amalan.


Di Malaysia, suasana ibadah lebih nyata dan meriah di pantai timur berbanding di pantai barat. Sepanjang usia saya ini, rasanya fenomena ini belum banyak berubah. Ya lah... kalau Aidil Fitri, awal-awal lagi bandar dan pekan di pantai barat Semenanjung Malaysia ini jadi sunyi dan lengang. Pusat beli-belah padat dengan orang Islam beli baju raya dan macam-macam persiapan lain. Rumah banyak yang akan dicat baru. Gula di kedai pun sampai habis, licin direbut orang sebab nak pastikan tetamu raya mereka disambut dengan minuman dan makanan manis semanis-manisnya. Kalau di kampung, hutan dan semak-samun awal-awal dah diselongkar untuk mencari buluh lemang dan daun palas. Kedai repair dan servis kereta penuh sesak berbaris-baris,. Pakat semuanya nak tukar tayar, nak tukar minyak hitam, nak tukar brek, nak gelapkan cermin kereta, dan segala macam lagi.

Tapi bila sampai Aidil Adha, ramai kita yang macam tak kisah pun akan kehadirannya. Raya dan tak Raya, sama saja. Apatah lagi bila cuti Raya Haji yang diperuntukkan hanya satu hari (betul, kan?) untuk kebanyakan kita, baik yang kerja kerajaan mahupun swasta. Kalau tak percaya, cuba tanya diri kita dan orang-orang terdekat di sekeliling kita soalan-soalan berkaitan persiapan Hari Raya. Contohnya, apakah mereka persiapkan anak-anak dengan baju raya untuk Aidil Adha ni. Cubalah. Saya yakin lebih 90% jawapannya 'Tidak' atau 'Tak perlu' atau yang seangkatan dengannya.

Di pantai timur, suasana orang nak beribadah korban tu nampak lebih lumrah saban tahun. Pengalaman saya berbelas tahun di pantai timur menonjolkan keinginan dan keazaman yang sangat tinggi dalam masyarakat Islam di sana. Di sekitar kejiranan rumah mertua saya, ramai jiran yang berkorban. Sebahagiannya dari kalangan yang kita rasakan 'miskin' bagaikan bukan lingkungan kemampuannya untuk melaksanakan ibadah itu. Namun itulah realitinya.

Kalau boleh kita kategorikan setiap kita ini sebagai 'orang pantai barat' atau 'orang pantai timur' dari sudut pandangan beribadah korban ini, yang mana satukah kita? Apakah kita dari kalangan orang yang tidak berapa ambil berat tentang ibadah korban dan Hari Raya Korban? Atau, kita ini orang yang sentiasa menunggu dan mencari-cari peluang untuk melaksanakan ibadah ini? Cuba tafakur sekejap dan tanyakan soalan ini kepada diri kita. Jawablah dengan ikhlas.

Orang-orang muda mungkin merasakan belum layak untuk melaksanakan ibadah korban sebab masih muda lagi. Mungkin juga belum sedia kerana sumber kewangan yang tidak mencukupi. Atau terasa 'macam terlebih alim' pulak kalau join korban ni. Atau mungkin juga yang memang tak mahu ambil kisah pun dengan ibadah ini... tak merasakan apa-apa makna yang besar pada Hari Raya ini dan ibadahnya.

Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar!


Allah membuka ruang yang luas untuk kita semua mendapat ganjaran pahala. Bagi kita yang belum mampu untuk mengerjakan ibadah Haji ke Baitullah, ini adalah antara peluang untuk kita cover sikit kekurangan kita. Sembelih korban pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah sebagai tanda kehambaan kita, bersama menyertai rombongan Haji yang berada di Mekah sekarang atau tahun bila pun.


Sekarang pun penyertaan ibadah korban sudah sangat mudah. Surau dan masjid di taman serta kampung kita tentu ada uruskan. Di radio pun banyak badan kebajikan dan NGO yang mewarawarakan aktiviti korban mereka. Ada yang di adakan dalam negara, dan ada pula yang yang dilaksanakan di negara-negara umat Islam yang memerlukan seperti di Palestin, Kemboja, Mindanao, Rohingya (Burma), dan Sri Langka. Bayaran pun tak seberapa, cuma dalam lingkungan RM300-RM500 satu bahagian. Kita boleh terlibat sama secara fizikal atau serahkan sahaja kepada pengurus aktiviti ibadah ini untuk dibereskan.

Persoalannya, apakah kita bersedia dan merancang untuk melaksanakan ibadah ini? Apakah kita berusaha bersungguh-sungguh membuat simpanan secara berdikit-dikit untuk mecukupkan bayaran satu bahagian korban itu, untuk tahun ini? Andai pendapatan kita sangat banyak Allah kurniakan, berapa kalikah sudah kita korbankan seekor lembu, misalnya?


Banyak ibadah Islam ini mengajar kita untuk merancang kehidupan, termasuklah ibadah korban ini. Ia mengajar kita untuk merancang kewangan sebagai persediaan memenuhi tuntutan ibadah itu. Ia menuntut keikhlasan untuk menyempurnakan ibadah dan kesungguhan melaksanakannya. Mungkin ia nampak besar bila nak dilonggokkan RM2000+ sederap dua tiga hari sebelum tarikh tutup penyertaan korban. Tapi kalau kita bahagikan RM2500 dengan 365 hari di awal-awal tahun lagi, nilainya hanya lebih kurang RM7 sahaja. Maknanya, kalau dikumpulkan lebih RM40 seminggu mulai sekarang, insya Allah kita akan dapat berkorban seekor lembu pada Aidil Adha tahun depan. Nak dapatkan satu bahagian cuma perlu RM10 seminggu aja, kan gitu? Yang pentingnya, ada niat dan keikhlasan...

Ibadah korban adalah ibadah yang amat diberatkan dalam Islam, tak kira tua atau muda. Malah orang muda tentulah lebih banyak jalan fikirannya untuk menyediakan keperluan kewangan ibadah ini. Andai tahun ini kita belum bersedia (atau terlupa untuk merancang) menyumbang minima satu bahagian korban, jom kita siapkan bahagian kita untuk korban tahun depan. dari Allah datangnya segala rezeki, maka kepada jalan Allah kita peruntukkan rezeki itu.

Mungkin wajar saya peringatkan diri saya sendiri dan saudara/i juga tentang hadis Rasulullah SAW yang popular:

"Ingatlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, dan hidup sebelum mati"

Mudah-mudah Allah memudahkan setiap kita untuk melaksanakan ibadah ini pada tahun hadapan. Memanglah ibadah ini mengajar kita untuk berbakti keluar dari diri dengan membelanjakan harta, tenaga, masa dan buah fikiran. Apa yang pasti, korban itu perlu bermula dari dalam!

Thursday, November 4, 2010

2011: Bajet & Rancangan Hidup Kita

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bajet 2011 sudahpun selesai dibentangkan beberapa minggu lepas. Dari situ kita dapat melihat bagaimana - dan ke mana - pentadbiran negara ini akan menambah atau mengurangkan perbelanjaan. Masing-masing jabatan kerajaan, swasta dan masyarakat awam (atau individu) harus melihat perubahan kehidupannya sedikit sebanyak melalui perubahan yang dibuat. Makin mudahkah kehidupan tahun depan, atau makin sukarkah? Banyak mana peluang, dan banyak mana pula ancaman kepada kehidupan setiap kita. Maka, persediaan dan perancangan menghadapi tahun 2011 perlu disediakan oleh setiap kita. Mudah-mudahan tahun 2011 dapat diharungi sebaiknya.

Mungkin orang muda kurang minat nak tengok pembentangan bajet ni. Sebenarnya, orang muda lah antara orang-orang yang patut meneliti dan mengamati isi kandungan bajet setiap tahun itu. Sebabnya, bajet biasanya banyak memberi kesan kepada orang muda. Peruntukan-peruntukan untuk pendidikan, keusahawanan, peluang pekerjaan baru, sukan dan rekreasi, pembangunan remaja dan belia, dan banyak lagi, semuanya melibatkan dan memberi kesan kepada orang-orang muda. Semua peluang positif wajar dimanfaatkan; ancaman negati perlu pula disediakan pelan tindakan yang demi meminimakan kesannya. Lihatlah halus-halus di celah nombor-nombor yang dibentangkan dalam Bajet 2011 itu. hanya orang yang meneroka dan mencari maklumat ini yang akan melihat dan menikmati peluang-peluang yang tersedia.

Kerajaan merancang bajet untuk negara. Kita sebagai orang muda yang bijak perlu pula merancang untuk pembangunan dan pengembangan diri kita setahun yang akan datang. Rebutlah peluang itu. jangan tunggu ia datang!

OK, kita melencong sedikit dari Bajet 2011 negara. Apa kata kita tengok macam mana belanjawan kita sendiri untuk tahun 2011 yang bakal tiba. Bagaimana agaknya kita nak susun belanjawan kita tahun depan? Bagaimana perlu kita ubahsuai keadaan diri dan keluarga kita tahun ini, supaya 2011 menjadi lebih positif? Ya, sebaik-baiknya yang positif makin mengembang manakala yang negatif makin menguncup.

Cuba kita lihat tahap ekonomi diri dan keluarga kita hari ini. Berbanggakah kita dengan apa yang ada? Tahap pendidikan kita pula bagaimana? Apakah hanya kekal seperti tahun lepas juga, atau memang sudah bertahun kekal begitu? Kalau sudah bertahun kerja makan gaji, tak teringinkah kita mengubah nasib dengan menceburi bidang keusahawanan pula?

Kalau selama ini kita bergantung hidup kepada perit-jerih ibu dan ayah, sudah sampai masanya kita menyumbang pula. Kita pulalah yang perlu mengerah tenaga dan fikiran mencipta ringgit dan sen bagi meringankan beban dua orang tua itu.Yang sudah graduate perlulah segera mengisi masa mencari kerja. Sebahagian untuk membantu ibu-ayah; sebahagian lagi tentu kita sendiri memerlukannya. Persediaan perlu mula awal, elakkan menganggur lama-lama. Tak molek orang muda lulusan IPT untuk 'makan angin' lama-lama... Carilah kerja, macam-macam peluang ada di luar sana. Islam tidak menghargai penganggur.

Bagi yang tak sempat nak ke IPT atau belum ada peluang lagi untuk ke IPT, Anda tentu ada kemahiran tertentu yang boleh dimanfaatkan untuk mencipta RM. Macam-macam peluang pekerjaan yang ada. Peluang perniagaan pun banyak juga. Cara biasa dan cara luar biasa boleh dipertimbangkan ikut keadaan dan kemampuan. Dengan internet dan teknologi moden lain, dah ramai orang berjaya mengaut untung hanya dari rumah.

Jom jadi positif dan  proaktif. Elakkan jadi pasif. Buktikan bahawa orang-orang muda Islam penuh dengan tenaga, idea, semangat dan daya juang!

Wallahua'lam.

Wednesday, October 13, 2010

Integriti: Cakap Biar Serupa Bikin!

Letih sungguh mengerjakan tugasan networking komputer di SMK TLDM petang itu. Cuaca panas dan garing menyebabkan tekak terasa haus sebaik sahaja melangkah keluar dari makmal berhawa dingin itu. Terus kuhayunkan kaki menuju kantin sekolah, mencari penawar tekak yang kehausan.

Sebaik sahaja sampai di birai kantin, beberapa wanita penjaga kantin sedang sibuk melayani beberapa pelajar membeli air minuman. Berselera sungguh melihat air bungkusyang pelajar-pelajar itu beli... air Sunquick, air sirap limau dan jus epal. Ahh... rezeki, sesuai sungguh untuk membasah tekak.

Belumpun sempat aku bersuara, salah seorang daripada wanita-wanita itu datang hampir dan menegur, "Eh... Pak Ngah nak beli apa?" Aku terpaku sekejap, mungkin terlopong sedikit agaknya. "Akukah yang dimaksudkan dengan pertanyaan itu?", bisikku dalam hati. Aku rasa tak pernah kenal sesiapa di kantin ini, tapi nyata wanita tadi memang berdiri di depanku. "Mungkinkah wanita ini memang memaksudkan aku sebagai Pak Ngah itu?", getus hati kecilku.













Barangkali kerana melihat aku dalam keadaan tergamam, wanita itu terus bertanya lagi. "Pak Ngah nak buat kursus motivasi KBM di sekolah ini pulak ke?", soalnya ingin kepastian. "Oh... tak, tak. Hari ni saya datang untuk buat kerja network komputer di makmal dan di pejabat, bukan nak buat KBM. Inilah kerja sepenuh masa saya, kerja cari makan. Kursus motivasi tu saya terlibat secara sukarela aja", huraianku agak detail. Soalan keduanya tadi menunjukkan wanita tadi memang sudah mengenaliku melalui program motivasi KBM yang aku selalu kendalikan di hujung-hujung minggu bersama rakan-rakan IKRAM dan JIM di sekitar negeri Perak.

Dari perbualan lanjut dengannya, aku dapat tahu wanita itu adalah ibu kepada peserta KBM SAR An-Nuriah, Pangkalan TLDM Lumut ini. Tak lama bersembang, akupun memesan dua bungkus air Sunquick, untuk diri sendiri dan satu lagi untuk sahabat yang membantu di dalam makmal sana. Sejurus air diterima dan bayaran dibuat, akupun meminta diri untuk kembali menyambung kerja di makmal.

Kantin itu kutinggalkan sambil memikirkan berapa banyak mata di sekitar ku yang sedang memandang dan menilai diriku selama ini. Maksudku, sejak aku terlibat mengendalikan kursus motivasi KBM (singkatan kepada Keindahan Bersamamu). sudah ramai orang yang menegurku dengan nama "Pak Ngah" di jalanan. Biasanya ibu bapa peserta lah. Guru-guru pun begitu. Peserta memang akan menyapaku dengan nama itu.

Nama itulah yang aku gunakan semasa mengendalikan KBM di manapun, hingga ia digunakan semua orang semasa menegurku, termasuklah di luar lokasi program. Panggilan itu semacam lebih serasi disebut, berbanding namaku sendiri. Sebelum Ramadhan baru-baru ni, aku terlibat mengendalikan KBM Saudara-saudara Baru anjuran Baitulmal Negeri, habis semua saudara baru berbangsa Iban, Kadazan, Sikh, Cina, India, Orang Asli, dan lain-lain juga memanggilku "Pak Ngah".


Akupun tidak kisah, malah menyukai panggilan itu dari sesiapapun. Ia membuat aku tersenyum. Ya, panggilan Pak Ngah itu menggembirakanku. Terasa mesra dan rapat sekali dengan peserta kursus, ibu-ayah mereka dan juga dengan guru-guru sekolah yang pernah mengendalikan KBM. Cuma, kadang-kadang terasa malu lantaran tidak dapat mengecam sebahagian orang yang menyapaku dengan nama itu. Manakan tidak. Mereka mengenaliku, sedang aku gagal merakam nama dan wajah mereka dalam memoriku.

Apa yang pasti, ramai orang memerhatikanku kini. Tentu mereka menilai diriku dengan apa yang aku sampaikan di KBM, baik bersama pelajar mahupun dalam slot bersama ibu bapa. Apakah aku menepati apa yang aku sampaikan? Gementar juga mengenangkan hal itu. Betapa semakin banyak kita berkata-kata di khalayak ramai, makin terdedah diri ini kepada kritikan dan perhatian orang ramai. Andai tersilap langkah tentu jadi bahan cerita. Mungkin sekali jadi bahan fitnah. Maklumlah kita menyampaikan nasihat dan motivasi, tapi diri sendiri mungkin begitu dan begini. Ya Allah, peliharalah diriku supaya aku menghayati apa yang aku sampaikan kepada orang lain.

Kepada orang-orang muda, ingatlah betapa banyaknya mata yang memandang dan menilai kita. Pandangan mata manusia, malaikat dan Allah Maha Pencipta. Paling tidak, nama kita yang Islam akan membuat orang menilai sama ada padan atau tidak dengan penghayatan seharian dalam hidup. Lebih-lebih lagi kalau kita dipandang 'baik' dan 'alim' sikit dari ramai orang, apakah alim dan baik kita itu berlaku di semua tempat dan situasi. Atau hanya sekadar topeng 'cari makan', alimnya hanya di waktu dan tempat tertentu sahaja!

Aduhai orang-orang muda,

Kita membawa dan menggambarkan maruah diri kita dimana pun kita berada. Sama ada orang menilai atau tidak, tanggung jawab menjaga integriti diri terpikul sentiasa. Kalau kita rasa diri kita benar-benar bernilai dan bermutu tinggi, marilah buktikan di manapun dan bila pun jua. Cakap biar serupa bikin!

Setakat ni dulu. Jumpa lagi di coretan lain. Wassalamualaikum.

Sunday, October 10, 2010

Maher Zain, Save The Soul & Burung Kakaktua

Konsert Save The Soul Maher Zain di Shah Alam pada 14-15 Oktober baru-baru ini mendapat sambutan hangat. Anak kecil, remaja, belia dan yang veteran semuanya tak mahu ketinggalan. Konsert itu 'Sold out', kata orang putih. Mengkagumkan dan mengujakan! Sambutan yang sungguh memberangsangkan. Ia petanda baik bahawa orang-orang Malaysia sangat dahagakan hiburan Islami yang mengisi dan membina jiwa. Sekurang-kurangnya, masih ramai orang yang memilih hiburan Islami sebagai alternatif kepada hiburan dan nyayian yang kosong ruhnya.

Kehadiran Maher Zain dalam dunia hiburan Islami agak mendadak. Namun kehadirannya bagai banjir besar yang merubah tebing-tebing yang selama ini tidak terusik. Mungkin sebelumnya terdapat pengaruh-pengaruh Cat Stevens, Zain Bikha, Sammy Yusuf, Daud Warnsby dan lain-lain.

Namun, lagu-lagu Maher Zain mengisikan mesej-mesej Islam dan sejagat menggunakan rentak pop yang biasanya tidak digunakan kebanyakan nasyid. Rentak yang diminati orang-orang muda, tapi diberi nafas baru, ruh baru. Ia nasyid yang berbeza. Pada masa yang sama, ia lagu pop yang berbeza. Lagu-lagu Maher Zain memberi peminat lagu pop satu kelainan. Peminat nasyid pula dihidangkan nasyid bertenaga yang berbentuk baru. Dunia muzik pop yang popular itu pun tenggelam sekejap dengan kehadiran Maher Zain ke Malaysia. Itu yang saya tahu dan perhatikan. Untuk komen lebih-lebih, saya taklah arif sangat pasal lagu dan nyayian ni.
Saya tidak pasti apa yang anda fikirkan. Bagi saya, hiburan dan muzik yang biasa ada di sekeliling kita - terutamanya dari negara barat - kebanyakannya tidak sesuai untuk seorang muslim, baik yang muda mahupun tua. Liriknya banyak bertumpu kepada kisah cinta bebas, nafsu seks, kelucahan, khayalan, malah banyak juga yang berorientasikan pemujaan syaitan. Ada pula segmen muzik yang mempromosi rupa, gaya dan aksi ganas!

Saya yakin tinggi peratus orang muda sukakan hiburan. Orang muda akan mudah tertarik kepada muzik dan segala yang berbentuk muzikal. Orang yang lebih berumur pun suka juga. Islam pula tidak menghalang hiburan. Malah Islam mengakui keperluan hiburan sebagai sebahagian rencah dan rempah-ratus kehidupan manusia. Mengamati Likes & Interests dalam profile pemilik-pemilik laman Facebook, minat kepada muzik ini amat terserlah di kalangan orang-orang muda. Sayangnya, saya tidak melihat muzik yang kita dengar hari ini mampu membina keperibadian tinggi. Muzik yang diasak ke telinga kita hari ini sukar untuk menyumbang ke arah membina tamadun hebat. Usah cakap tentang Islam, membina bangsa Malaysia sendiri pun belum tentu!
Satu lagi kerunsingan dan kebimbangan tentang dunia muzik di negara kita. Semacam sudah menjadi norma di negara tercinta ini, menyanyi itu sifatnya perlu terlompat-lompat, terkinja-kinja, terpekik-pekik. Penyayi dan artis pula perlu berpakaian seksi dan menjolok mata. Kalau perlu ada klip video, paparannya perlu menonjolkan dan mendedahkan aurat wanita; Ditambah lagi dengan perlakuan-perlakuan yang mengghairahkan nafsu berahi. Belum lagi dimasukkan lagu dan muzik rock metal yang berunsur 'ganas' dan menakutkan. Meniru - hampir bulat-bulat, sebiji-sebiji - bentuk dan norma hiburan barat yang lepas bebas. Hampir tiada peraturannya. Rendah dan merendahkan. Hina dan menghinakan fitrah manusia yang dijadikan bersih dan sukakan kemuliaan. Apakah Lembaga Penapis Filem tiada budi bicara dalam mengawal urusan ini? Tidakkah Kementerian Penerangan juga berhak menentukan halatuju bidang ini juga?
Malangnya, Itulah yang dipaparkan di tv, di konsert, di internet dan sebagainya. Malah dalam rancangan tv Idola Kecil dan Akademi Fantasia (AF) yang dijadikan program reality tv, para peserta diajar dan diperlukan pula bercampur lelaki perempuan dan berpegangan tangan. Penyayni yg membuat pengakuan "terpaksa pakai seksi dan pakai susuk sana-sini untuk jadi artis" pula menunjukkan nilai seni dan hiburan yang ada di negara kita ini.

Apa sebenarnya yang kita cari dari hiburan? Apa pula yang nak dibentangkan oleh media elektronik kepada kita sebagai hiburan? Mungkinkah mahu dilambakkan apa sahaja, asalkan ia beri pulangan kewangan kepada pelaburan mereka? Apa yang mahu kita buktikan? Apakah kita mahu tunjukkan keupayaan kita menjadi peniru terhebat, tidak kira muzik dan lirik apapun yang disogokkan kepada kita semua, terutamanya orang muda. Apa yang industri muzik negara ini hasilkan dan hidangkan untuk kita?

Apa pun, kemunculan dan kegemparan yang dihasilkan oleh Maher Zain membuat hati saya berbunga. Terasa tinggi harapan untuk mengubah tebing-tebing tinggi aliran muzik kontemporari yang kosong, yang lompang dari keperibadian ini. Hasrat saya untuk melihat muzik-muzik yang mantap dengan isi dan inti Islam kian melambung. Kepada yang meminati Maher Zain, mari kita terus selamatkan jiwa kita dari hanyut. Kalaupun hati ini menggemari muzik dan hiburan, jangan sampai melalaikan. Andai kita sukakan lagu, pastikan liriknya bukan lirik murahan atau penuh kemungkaran. Fahamilah apa yang kita dengari dan nyanyikan. Jangan biarkan kita jadi burung kakak tua yang hanya mampu meniru tapi tak tahu apa sebenarnya - yang tersurat dan tersirat - di sebalik lagu dan muzik kegemaran kita.

Moga Maher Zain terus menyumbang. sesungguhnya beliau juga seorang Muslim yang pernah tersilap langkah dalam kehidupan. Maka, tema Save the Soul yang dipilihnya amat kena dan tepat. Kita perlu selamatkan jiwa-jiwa dan ruh Islam semua kita, terutamanya yang muda - dari tergelincir dan tenggelam.
Tapi Maher Zain, Sammy Yusuf, Zain Bikha dan yang lainnya perlu dibantu. Membeli CD mereka yang ori, memperkenalkan lagu-lagu mereka kepada kawan-kawan dan sebagainya adalah antara usaha wajar dari pihak kita. Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan nasyid tempatan seperti Raihan, Hijjaz, Saff One, UNIC dan Demascus pula perlu lebih kreatif dan menonjol dalam menarik peminat-peminat muzik untuk beralih kepada lagu-lagu yang mendidik jiwa.
Wahai sekelian orang muda,
Kita semua ada peranan masing-masing. Begini cadangan ringkas saya. Kalau anda peminat muzik, beralihlah kepada meminati penyanyi yang berintegriti. Pilihlah lagu yang bersih dari mesej kelucahan, black metal, seks, tahyul, apa lagi yang termasuk pemujaan syaitan.
Mengapa kita senang-senang memilih Justin Blieber yang dikenali sebagai paedophile? Mengapa pula kita dengan mudah memuja-muji penyanyi seperti Madonna dan Britney Spears yang jelas dikenali (itupun pada penarafan moral barat yang rendah) sebagai wanita yang berakhlak tidak senonoh? Dan apa pula sebab kukuh untuk kita meminati, menghafal dan mendendangkan lagu-lagu seperti yang dinyanyikan Lady Gaga yang jelas berunsurkan tahyul dan pemujaan syaitan?
Lagu-lagu rock dari kumpulan heavy metal pula ternyata bukan untuk kita. Penampilan kasar dan ganas mereka amat tidak serasi dengan mesej Islam yang "harmoni', "tenang" dan "damai". Lirik dan mesej heavy metal pula ada yang jauh menyeleweng dari aqidah Islam. Mereka tidak layak dipuja dan diminati seorang Muslim, apa lagi dijadikan idola.
Sebagai seorang Islam, kita harus ada identiti dan kawalan diri terhadap apa yang kita mahu dan apa yang kita pilih. Semuanya akan dipersoalkan. Kembalilah kepada Allah. Maher Zain mengajarkan kita ini: sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan!
Andai anda seorang penyanyi, telitilah apa lirik lagu anda yang mahu diterbitkan. Layakkah ia diletakkan sebagai lirik hebat yang menyumbang kepada pembangunan minda dan jatidiri pendengar. Biarlah anda jadi lebih memilih, asal nanti anda diingati sebagai penyanyi berbakat yang ada sumbangan moral kepada masyarakat dan peminatnya. Usah didendangkan sebarang lagu, semata-mata kerana penerbit merasakan lagu itu komersial. Anda ada maruah diri, bangsa dan ummah terpikul di bahu. Pastikan ia terjaga utuh di pihak anda!
Dalam kelompok yang lebih besar, kita juga perlu mainkan peranan masing-masing. Contohnya, jika anda seorang pelajar muzik, rancanglah kerjaya masa depan yang membina. Kalau anda seorang penulis lirik lagu, tukarlah aliran lirik anda kepada penulisan lirik yang bererti lagi membina keperibadian. Andai anda seorang DJ muda, banyak-banyakkanlah memutar lagu bermakna dan berfaedah untuk merangsang kebijaksanaan dan ketrampilan. Kita semua berperanan dalam pembangunan semula ummah ini. Janganlah kita jadi orang yang terlibat meruntuhkannya. Sedarlah bahawa kegilaan kita kepada muzik dan hiburan melalaikan itu adalah sebahagian perancangan musuh Islam yang mahukan kita lalai dan lemah.
OK, orang muda. Itu pandangan saya. Mungkin betul dan tidak mustahil ia salah. Fikir-fikirkan dan bertindaklah sewajarnya demi masa depan kita semua - dunia dan akhirat. Ingat, anda bukan burung kakak tua!
Tapi, apa pula pandangan anda sebagai orang muda?

Wednesday, September 22, 2010

Perkongsian Daripada Orang Yang Pernah Muda

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya sebenarnya ada beberapa posting yang sedang tersusun, menunggu untuk dipaparkan. Namun, semuanya masih belum sempurna seperti yang dihajati. Jadi, biarlah beberapa posting itu terapung di alam maya sehingga saya sauhkan beberapa hari lagi. Sementara tu, biar saya buka cerita sikit.

Macam ni ceritanya...

Sejak saya mengaktifkan blog ini baru-baru ini, beberapa orang sahabat bergurau pula dengan saya. "Engkau kena dye rambut bagi hitam balik, baru boleh moderate blog Orang Muda Malaysia tu!", begitu lebih kurangnya kata mereka. "Oh, ye ke?", jawab saya ringkas. Tak sangka ke situ pula tanggapan kawan-kawan... Mungkin mereka ikhlas. Saya yakin sebahagian besar sahabat saya itu hanya bergurau. Silap saya juga sebab tak maklumkan hasrat saya secara jelas di awal pengaktifan blog ini dulu.

Tak mengapalah. Berikan sedikit masa untuk saya serlahkan jatidiri blog ini. Sebenarnya, blog ini tidak dinamakan blog Orang Muda Malaysia sebab moderatornya mahu mengaku 'muda'. Memang saya tak 'perasan muda' pun. Bukan itu motifnya. Tak layakpun saya nak mengaku muda lantaran usia sudahpun melangkaui garis 40 tahun. Di Malaysia ni, selalunya 'orang muda' dilabelkan kepada golongan lewat remaja hinggalah ke hujung 30-an. Special case tentang gelaran ini hanya apabila ada perbandingan umur antara dua orang atau golongan. So, bukan cerita nak memudakan diri. Bukan.

Apapun, blog ini memang saya susun untuk manfaat orang-orang muda Malaysia. Cumanya, 'orang-orang muda' ini saya kategorikan bagi mereka yang beragama Islam dan umurnya pula dalam lingkungan 13 hinggalah 40 tahun. Kalau ada antara saudara/i yang berumur lebih daripada 40 tahun tapi masih berminat juga nak ikuti bicara saya di sini, silakanlah. Mana tahu, mungkin ada perkongsian saya yang boleh dimanfaatkan pula untuk anak, jiran, rakan atau saudara-mara yang masih muda.

Orang-orang muda yang dikasihi,

Rasanya kita biasa dengar orang berkata "orang tua lebih dahulu makan garam", kan? Macam-macam persepsi terhadap peribahasa ini. Ada orang tua-tua yang gunakannya untuk 'tunjuk power' dengan orang muda-muda. Kononnya, orang muda-muda mesti patuh dan akur dengan keputusan atau petunjuk orang tua-tua ni. Tak beri langsung ruang dan peluang untuk orang muda berfikir dan mencuba.

Ada pula orang-orang muda yang mengambil sikap menjauhi orang-orang yang lebih dewasa (terutamanya yang sudah jauh berbeza umur) bila menanggapi peribahasa ini. Mungkin kerana takut tidak memperoleh kebebasan memilih cara hidup sendiri. Ye lah... Kalau asyik orang-orang tua aja macam hebat dan berpengalaman, bila pulak orang muda nak tunjuk jaguh? Adakalanya, sampai tunjuk ajar tulus orang tua juga mungkin ditepis bulat-bulat andai peribahasa ini disebut-sebut semasa nasihat diberikan.

OK, OK. Di blog ni kita ambil jalan tengah. Kita tidak mahu jadi ektrimis. Islam pun ajar kita bersederhana, bukan keterlaluan. Di sini kita mengambil pendekatan bahawa orang tua atau lebih dewasa pernah melalui masa mudanya, sedang orang muda belum tentu sempat sampai usia tuanya. Meski tidak semua, tentu ada pengajaran daripada pengalaman atau pengamatan orang-orang tua yang tidak dapat dijangkau oleh ijazah atau PhD orang-orang muda. Namun begitu, orang-orang tua pulak tidak wajar tunjuk power semata-mata kerana terasa sudah 'lebih dulu makan garam.'

Sebenarnya, orang yang lebih dewasa bertanggung jawab memimpin orang-orang muda ke arah yang benar. Kalaulah ada kebenaran dalam tunjuk ajar orang-orang tua, wajar sekali orang muda jadikan panduan... Tak semestinya terima terus. Cuba baca, dengar, timbang-timbangkan. Lepas tu, ambillah tindakan yang wajar dan waras sebagai seorang Islam.

Atas rasa tanggung jawab itulah saya paparkan di blog ini perkongsian buat orang-orang muda Malaysia. Sedikit sebanyak blog ini akan ada bahan yang diperlukan. Kalau tak sekarang, di masa hadapan, insyaAllah. Tidak kiralah anda berada dalam negara atau di luar negara, masih di sekolah atau sudah berada di IPT, berkerjaya atau tidak, cerdik akademik atau cerdik kemahiran, kaya atau kurang berada, sudah berkerja atau sedang mencari kerja, sudah berkeluarga atau belum lagi.

Oleh yang demikian, coretan-coretan saya di blog ini akan banyak berkisar perkara-perkara berikut ini:-

1) Perkongsian pengajaran utk orang muda hasil pengalaman saya sendiri

2) Perkongsian pengamatan ilmu dan isu-isu orang muda

3) Pemerhatian gelagat alam dan masyarakat secara umum, terutamanya yang boleh dikaikan dengan orang-orang muda

Apa yang pasti, rujukan dan sandaran coretan dan perbincangan saya adalah Al-Quran, Sunnah dan rentetannya. Akan saya ambil kira juga adab santun keMelayuan dan ketimuran yang tidak melanggar syarak. Maknanya, kita akan berfikir dan berbincang isu-isu orang muda menurut perspektif, landasan dan kerangka minda Islam, bukan yang lain.

Akhir kata, saya bukan lagi orang muda tapi saya sangat kasih dan sayang kepada orang-orang muda Malaysia, terutamanya yang seakidah. Blog ini menjadi tandanya. Sangat besar nilai anda semua di sisi Islam dan ummah, sebaik sahaja anda berada di landasan yang benar. Akan saya bentangkan apa saja ilmu dan pengalaman yang dirasakan berguna buat tatapan anda semua. Mudah-mudahan saya dapat memberi sedikit sumbangan dalam membina semula generasi muda bertaqwa yang unggul... ya, generasi muda yang dihormati dan digeruni. Saya berdoa dan berharap benar agar Allah jadikan blog ini saluran kebajikan buat kita - yang menulis dan yang membaca.

Ya Allah, kami Orang-orang Muda Malaysia memohon kepadamu...

Jadikanlah Engkau (dan hanya Engkau) matlamat hidup dan gerak laku kami,
Jadikanlah Nabi Muhammad contoh tauladan kehidupan kami,
Jadikanlah Al-Quran perlembagaan pengatur hidup kami,
Jadikanlah Jihad menegakkan Islam itu jalan hidup kami, dan
Jadikanlah Mati Syahid itu cita-cita tertinggi kami!

Ya Allah,

Jadikanlah Orang-orang Muda Malaysia individu-individu soleh dan solehah, hebat menyerlah jauh daripada orang-orang muda yang biasa!

Wassalamualaikum wr wb!

Monday, September 13, 2010

Hidup Tragis Penangan Kebendaan

Assalamualaikum wrwb. Jumpa lagi di ruang maya ini.

"Jutawan Disembelih", begitu tajuk utama akhbar Harian Metro semalam. Ia merupakan penemuan terbaru kepada kes kehilangan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya. Ya jutawan itu, bersama tiga orang lagi, didapati mati ditikam, dikelar leher dan dibakar hingga menjadi abu....

Sungguh tragis! Benar, tragis sungguh akhir sebuah kehidupan seseorang, akibat kerakusan seorang yang lain mengejar matlamat kebendaannya. Dalam canang "keamanan" dan "kesejahteraan" yang kita dengar dari semasa ke semasa, amat menyentuh hati apabila kisah-kisah begini memenuhi dada-dada akhbar kita sepanjang masa. Penipuan, penyelewengan, penindasan, penculikan, peras ugut, hinggalah kepada pembunuhan. Semuanya sanggup dilakukan atas nama nafsu kebendaan.

Apa yang menariknya (dan mungkin juga memelikkan bagi sesetengah orang), suspek utama pembunuhan kejam ini adalah seorang peguam yang bergelar 'Datuk'. Bukan itu sahaja, malah beliau diberitakan sebagai seorang yang sangat peramah, pemurah dan baik hati. Beliau juga sudah hampir benar menduduki 'ruang-ruang atas' sebuah parti politik negara. Hasil siasatan meletakkan kemungkinan kaitan peguam ini dengan beberapa lagi kes kehilangan individu-individu 'hartawan' di negara kita. Maknanya, mereka juga mungkin sudah dibunuh oleh suspek ini. Kesnya semua sama, berkaitan pembelian hartanah oleh hartawan-hartawan ini. Motifnya, kalau begitu, sudah jelas mendapatkan hakmilik hartanah (yang tentunya akan berikan pulangan wang ringgit) dengan cara gelap.

Oh ya. Jangan pula salah faham. Saya tidak pandai menganalisis kerja-kerja polis. Tidak pula saya mahu membincangkan lebih jauh perkara-perkara teknikal berkaitan kisah pembunuhan kejam ini. Cukuplah sedikit ulasan di sini untuk saya ungkapkan betapa jeleknya kesan sikap kebendaan atau materialistik ini kepada hidup kita. Ia tidak mengenal usia, bangsa, tahap pendidikan, mahupun status sosial. Bila sikap materialistik sudah menggila dalam diri, sesiapapun boleh berbuat apa sahaja untuk mencapai keinginan materialistiknya. Ya... apa sahaja, hatta terpaksa membunuh sekalipun. Yang pentingnya, pelakunya berasa mendapat keuntungan dan manfaat kebendaan yang dimahukannya.

Dulu kita pernah dibentangkan kisah seorang ADUN dibunuh dan dicincang oleh pesaing politiknya. Kita juga pernah dengar ahli politik yang melesapkan wang berjuta ringgit dari syarikat besi negara. Seorang lagi pemimpin sedang disiasat atas kes penyelewengan PKFZ. Malah banyak lagi kes-kes melibatkan orang politik, mungkin boleh kita bincangkan dalam posting lain pula.

Banyak pula kes-kes berkaitan yang dilakukan oleh golongan profesional dan para penjawat awam. Sekarang kita membaca kisah peguam menipu dan membunuh. Baru-baru ini kita membaca berita beberapa pengarah syarikat yang melakukan pecah amanah. Kita juga pernah mendengar berita seorang pegawai akaun bank yang melesapkan wang pemilik-pemilik akaun. Tidak kurang kes yang melibatkan pegawai-pegawai tinggi dalam hierarki pentadbiran awam negara. Kita semua tahu cerita-cerita ini. Sangat pelik kiranya kita tidak tahu.

Dan yang tersiar di media adalah kes-kes yang terbongkar. Yang tidak terbongkar malah jauh lebih banyak lagi. Ada kes yang tidak diketahui langsung. Ada pula kes yang sudah dimaklumi tapi tidak didedahkan kepada umum. Kita mungkin pernah berhadapan sendiri dengan suasana ini, kan begitu? Dengan lebih 20 juta penduduk negara ini, tentu berjuta-juta pula kisah-kisah sebegini. Andai dicatat dan dibukukan, tentu boleh menjadi sebuah buku yang sangat tebal, malah mampu disusun dalam puluhan malahan ratusan jilidnya tersendiri.

Apakah kita yang menggalakkan kembangnya sikap materialistik ini? Mungkinkah kita sendiri yang merelakan dan merestuinya hingga sikap ini melata dan membarah dalam masyarakat kita? Apa kata orang-orang muda? Mungkin juga bukan orang muda yang melakukannya, tapi orang-orang tua mereka dan masyarakat sekeliling. Sama-sama kita amati dan fikirkan...

Apabila timbul isu-isu yang melibatkan gejala kebendaan ini, saya selalu mendapatkan pandangan rambang masyarakat. Peliknya, sebahagian besar jawapan yang diterima mempunyai nada yang hampir sama. "Engkau pun nanti kalau dah jadi engineer, duduk kat tempat macam tu... engkau pun akan buat juga!", itulah respon biasa mereka. Ada juga yang mengatakan, "Dah terpaksa... nak buat macam mana?". Lebih biasa lagi untuk saya mendapat respon "Kalau lurus sangat, mana boleh hidup sekarang ni!".

Pelik, kan? Kita tak suka ditindas dan dizalimi. Namun masyarakat kita seolah-olahnya mengajarkan bahawa "kalau ada peluang kita dapat duit lebih (kebendaan), ambillah peluang tu". Meskipun - untuk tujuan itu - kita perlu menzalimi atau mengambil hak orang lain. Mengambil dua sikap yang saling menyalahi pada masa yang sama. Double-standard yang sangat jelas... pegangan yang mengelirukan. Orang-orang muda yang berniaga dan terlibat dengan pemerolehan kontrak dan tender tentu arif dengan apa yang saya sebutkan ini. Seolah-olahnya hajat-hajat kebendaan para pemegang kunci tender, permit dan sebagainya sudah menjadi penentu arah kehidupan kita. Ahhh... Malaysia.

Betapa sikap materialistik seseorang akan menyusahkan orang lain pula. Ia malah boleh menyebabkan 'keterpaksaan' untuk orang lain melanggar undang-undang dan batas susila. Lebih teruk lagi, cita-cita kebendaan lembu-lembu materialistik ini boleh menyebabkan orang lain melakukan dosa dan maksiat dalam usaha mencari sesuap nasi menyara keluarga. Betapa besarnya kesan nafsu kebendaan yang tidak terkawal. Hinanya individu-individu yang rakus kebendaan itu...

Atau kita sendiri juga sedang mengejar kebendaan seperti peguam pembunuh itu? Demi mengecap kemewahan hidup? Andai benar, cukup-cukuplah tu. Berhentilah sekarang juga dan kembalilah ke pangkuan Allah. Mari kita mulakan hidup baru, membentuk generasi muda baru yang tidak terbuai imannya dek kebendaan, terutamanya yang melibatkan cara dan proses yang yang menyalahi agama. Kejayaan material memang dibenarkan, malah digalakkan demi manfaat ummah. Tetapi perlu ada batas-batasnya, itu pasti. Dan siapa yang mahu meletakkan batas-batas itu ikut sesuka hatinya, tentu akan berakhir dengan kerosakan - kepada diri dan masyarakat.

Orang-orang muda hebat ada pegangan hidupnya. Ia bukan sekadar pengikut tapi juga pemimpin apabila perlu. Orang muda yang cemerlang tidak membiarkan dirinya hanyut dalam arus negatif yang dibentuk masyarakat. Orang muda generasi ini perlu sedar peranan besarnya dalam membenam penguasaan kebendaan dalam masyarakat. Mari kita kembalikan penyerahan diri kepada batas-batas Allah. Mari kita hidupkan kembali perjuangan membina masyarakat dan ummah, bukan menumpu kepada kejayaan kebendaan peribadi semata. Kita perlu tanam dan genggam kemas misi dan visi ini dalam minda dan diri orang-orang muda Islam semuanya. Dan ia perlu ditanggap segera, sekarang juga!

Allah Matlamat Kami. Muhammad Rasulullah Ikutan Kami. Al-Quran Perlembagaan Kami. Moga Allah jadikan kita orang muda yang berjiwa besar dengan semangat juang yang membara!


Friday, September 10, 2010

Mungkinkah Kita Orang Muda Yang Materialistik?

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Ya, Ramadhan 1431H sudah berlalu dan Aidilfitri menjelang lagi. Namun, Ramadhan Shahrul Quran itu tetap meninggalkan peringatan dan pengajaran buat kita. Kalau kita ambil satu peringatan besarnya, cuba kita nilai kembali hubungan kita dengan Al-Quran itu sendiri…

Cuba kita bayangkan suasana apabila kakitangan-kakitangan kerajaan dihadapkan dengan ujian PTK (Penilaian Tahap Kecekapan). Maka beriya-iyalah mereka berusaha demi memastikan kejayaan. Harapannya mereka akan memperoleh keputusan memuaskan di tahap ‘4’. Dengannya lebih mudah naik pangkat, naik gaji, dan sebagainya. Ringkasnya, “cerah masa depan”. Sangat-sangat ingin dijauhi markah di tahap ‘1’, ‘2’ atau ‘3’. Maka, pelbagai manual dan buku panduan dibuka dan ditelaah demi kejayaan.

Begitu pula gelagat sebuah organisasi bila dibentangkan hasrat mencapai berbagai ISO. Banyak kajian, perbincangan serta aktiviti dilaksanakan bagi memastikan tahap piawaian ISO berkenaan dicapai. Pencapaian ini nantinya bakal membanggakan seluruh organisasi. Sekurang-kurangnya, rasa hebat dan megah anggota organisasi yang berjaya mencapai ISO berkaitan.

Demikian juga halnya para pelajar apabila menghadapi UPSR, PMR, SPM, STPM, MUET dan lai-lain lagi. Pelbagai nota, buku teks, buku rujukan, buku latihan dan kertas-kertas soalan peperiksaan tahun-tahun lepas dipelajari, ditelaah dan dikaji. Kalau boleh, tiada judul yang tidak dibeli dari mana-mana penerbit. Matlamatnya satu, kita mahu capai keputusan cemerlang dengan 6A, 9A, 12A, 6P, dan sebagainya. Biar berhabis duit, malah ramai yang sanggup bergolok-bergadai demi kecemerlangan ini.

Orang-orang muda yang dikasihi,

Benarlah, demi pencapaian keduniaan ini, kita sanggup bertungkus-lumus kerananya. Tidak menghairankan, lantaran kita semua memang mampu melakukannya. Keghairah kita mencari dan menghayati pelbagai rujukan dan manual melonjak naik, lantaran mahukan ganjaran kebendaannya: RM, pangkat, penghargaan, harta, dan lain-lain. Namun, di mana rujukan kita sebagai persediaan masa depan kita yang sebenar – di dunia dan akhirat? Apakah manual panduan kita? Apakah sudah kita telaah dan amalkan segala macam panduannya demi kejayaan yang cemerlang?

Setiap individu Muslim adalah pemimpin dirinya. Andai kita sudah berkeluarga maka bertambahlah pula tanggungjawab dan peranan sebagai pemimpin keluarga. Kita perlu dan berhak mengaplikasikan manual hidup yang sebaiknya untuk diri dan keluarga. Kita malah bertanggungjawab mengusahakan segala cara bagi memastikan kegemilangan serta keselamatan diri dan keluarga.

Sebagai orang Islam, Allah telah menurunkan al-Quran sebagai manual hidup kita. Ya, manual yang hebat, penuh informasi dan pengajaran. Tiada manual, ISO atau rujukan lain yang sempurna dan sehebatnya. Tiada manual lain yang tinggi ‘standard’nya. Isinya tetap, namun terbukti boleh menjadi rujukan yang flexible bagi memenuhi keperluan yang pelbagai. Isinya mengesahkan peristiwa-peristiwa silam; Susunan ayatnya memberi keterangan hal-hal yang berlaku kini. Ayat-ayatnya malah menjangkakan secara tepat perkara dan peristiwa yang bakal berlaku. Ia mengisahkan isu-isu yang zahir di pandangan mata dan deria bersekali hal-hal ghaib yang tak terjangkau fikiran kita. Ia malah mendahului keilmuan moden yang dibantu teknologi canggih sekalipun. Ia sebuah manual yang bukan hanya memperihalkan satu bidang atau cabang hidup sahaja, tetapi menceritakan segalanya dari alam roh hingga ke alam akhirat. Tiada siapapun yang mampu menunjuki jalan hidup kita sebegini tepat dan sebegini halus.

Namun, samakah keghairahan kita untuk membaca manual hidup ini? Bersungguhkah kita dalam percubaan memahami isinya? Berusahakah kita untuk mencapai serta menghayati standard tinggi yang disusun Al-Quran? Mengapa kita kelihatannya seperti seorang yang ‘double-standard’ dalam mengambil panduan hidup dari al-Quran?

Mungkinkah kita sudah hilang keyakinan dengan manual hebat ini? Atau, kita sudah menjadi individu materialistic – yang meletakkan keyakinan ‘seeing is believing’? Kita tidak berminat dengan apapun selain perkara-perkara yang membawa kepada peningkatan ‘RM’, harta, pangkat, keseronokan sahaja?

Jadi, jom buang jauh-jauh sikap materialistic yang makin mencengkam ini. Ia tak mungkin mengangkat kita ke tahap yang tinggi di mata kawan dan lawan. Orang-orang muda yang materialistic akan hanya dipermainkan, diperaalatkan dan diperlekehkan oleh musuh; pada masa yang sama akan menyusahkan dan memusnahkan masyarakat dan ummah pula. Orang muda yang materialistic akan jadi lembu yang dicucuk hidungnya. Rendah dan hina tarafnya di pandangan masyarakat dan musuh sekaligus.

Manual apakah yang kita pilih untuk memastikan masa depan dunia dan akhirat yang cerah? Manual-manual kepakaran dan keilmuan yang tertentu mesti dikuasai. Kita tidak mahu menjadi orang-orang muda yang lemah, bersikap alakadar, mundur, jumud ataupun menjadi pengguna dan pengikut semata-mata. Kita memang perlu cemerlang dalam setiap bidang penglibatan kita. Kita mahu menjadi hebat, gemilang dan berada di barisan hadapan kemajuan. Kita mahu menjadi pemimpin diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Namun, pada masa sama, kita ingin jadi orang muda yang disegani, dihormati malah digeruni. Sejarah Islam telah membuktikan setiap kita mampu menjayakan misi ini di penjuru dan bidang masing-masing. Apapun misi dan visi hidup kita, pastikan penguasaan Al-Quran tidak dikesampingkan.

OK. Siapapun kita sekarang, jom baca, fahami dan hayati Al-Quran. Moga Allah menunjuki kita semua!

Monday, August 30, 2010

Hampir setahun dicari tidak ketemu...

Assalamualaikum wrwb. Jumpa lagi kita di sini.

Benar, sudah hampir setahun blog ni senyap dan tidak aktif. Tentu tidak serasi dengan orang muda yang dinamik, mahu cepat, aktif dan bersemangat. Betul tu, anda tidak salah. Kalau mahu diletakkan kesalahan, ia patut diletakkan di pihak saya... Ya, blog ini sudah hampir satu tahun tidak dilakukan 'update'.

Namun, keadaan ini tidaklah disengajakan. Sebenarnya, sudah sekian lama saya mencari semula blog ini tapi tidak berjumpa. Silapnya, saya mencarinya menggunakan nama yang salah. Saya menciptanya dengan nama Orang Muda Malaysia, tapi mencarinya menggunakan Orang Muda sahaja! Maklumlah, belum biasa dengan cara-cara mengurus blog ni. Baru nak berjinak-jinak....

Mulai sekarang, blog ini akan selalu dikemaskini. Datanglah berkunjung lagi ke sini. Kalau ada masa lapang, boleh juga jenguk-jenguk blog saya yang lagi satu... Diari Keindahan. Yang ni pun baru juga. Setakat ni, belum betul-betul beroperasi. Akan segera ada 'posting', insyaAllah.

OK ya. Kita jumpa lagi di posting lain...