InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Tuesday, December 14, 2010

"Encik, Gaji Saya Bila Nak Naik?"

Assalamualaikum.

"Encik, gaji saya bila nak naik?" Tiba-tiba sahaja Z bertanya kepada saya di suatu pagi di premis niaga.  Saya terkejut dan separuh hairan kerana menerima soalan itu dari Z.

Bukanlah memeranjatkan untuk seorang kakitangan sesebuah perniagaan bertanyakan bila kenaikan gajinya yg seterusnya. Bukan pula saya tak mahu menaikkan gaji kakitangan. Soalan itu mengejutkan saya kerana Z belumpun sampai sebulan bertugas sebagai juruteknik komputer bersama saya. Memang dia nampak rajin dan selesaikan banyak tugasannya dengan kadar yang agak pantas dalam sebulan itu. Kalau sudah berbulan-bulan begitu, hampir pasti akan saya pertimbangkan segera kenaikan gajinya. Namun soalan kenaikan gaji dari orang muda yang belumpun sebulan bertugas itu saya rasakan agak keterlaluan. Barangkali beliau 'pulun' sungguh sebulan itu sekadar nak tunjuk rajin supaya gajinya cepat dinaikkan.

Sekadar untuk mengorek lebih dalam, saya balas soalan itu dengan satu deret  soalan pula. Serangan balas lah kiranya. "Nak naik gaji? Kan belum sebulan pun kerja di sini, takkan dah nak minta naik gaji? Mengapa cepat sangat nak naik gaji? Saya sebagai pengurus rasakan awak belum layak untuk dinaikkan gaji!". "Tapi bukan ke encik yang kata saya akan dinaikkan gaji berdasarkan prestasi? Saya dah buat banyak kerja dengan baik setakat ini, patutlah kalau saya mintak naik gaji!" Z menjawab pantas dengan suara yg sedikit tinggi. "Saya perlukan banyak duit... Nak bayar sewa rumah, nak bayar bil handphone, nak belanja-belanja makwe, ......, ..... " Z bercerita panjang tentang tujuannya minta dinaikkan gaji.

"Kalau awak teruskan prestasi seperti selama ini, saya tentu akan naikkan gaji awak tak lama lagi. Yang pastinya bukan sekarang. Kalau rasa duit tak cukup, tak payah pakai handphone. Kalau rasa duit tak ada, tak usah sibuk nak belanja makwe. Belanja ikut gaji awak lah, bukan minta saya naik gaji sebab awak nak belanja. Lagipun, baru tak sampai sebulan kerja memang tak layak naik gaji. Kita ada peraturan di sini, bukan boleh buat sembarangan", hujah saya panjang lebar. Kami terus bersoal-jawab selama beberapa lama selepas itu. Dipendekkan cerita, Z berhenti kerja lebih kurang seminggu selepas menerima gajinya yang pertama. Saya rasa sungguh lega.

Saya juga pernah  berhadapan kerenah 'berani' dan kurang beradab seorang kakitangan wanita. Y seorang lepasan SPM, juga seorang muda, dalam lingkungan 21 tahun kalau tak silap. Apa yang berlaku, saya dapat kesan beliau menggunakan telefon perniagaan untuk menghubungi teman lelakinya semasa saya bertugas di luar. Saya dapat hidu sesuatu yang tidak kena bila pada satu bulan tu bil telefon perniagaan melonjak kepada hampir RM800, sedangkan tak pernah nilai bil melebihi RM350 sebelum itu. Bila disemak 'nombor-nombor ganjil dan mencurigakan' daripada senarai dalam bil telefon, saya hubungi satu persatu pemilik nombor. Sah, pekerja itu yang menyebabkan bil naik. Saya arahkan dia bayar semuala RM600 nilai bil yang dapat dikesan berkait dengannya. Selebihnya yang tidak dikesan berbulan-bulan sebelum itu, Allah sahaja yang tahu! Berkerut dahi saya memikirkan jawapan Y tentang salah lakunya itu, "Apa salahnya saya gunakan telefon tu... kan tiap-tiap bulan memang nak bayar juga bilnya kalau saya pakai ataupun tidak?" Jawapan yang pelik dan tidak cukup cerdik. Tak pasti apa orang muda ini fikirkan.

Pernah pula seorang pelajar praktikal (latihan industri) sains komputer  sebuah IPTA datang menjalani latihan di perniagaan saya. Biasalah tu, memang saya menerima ramai pelajar untuk latihan industri dari pelbagai IPT. Yang buat saya terkedu ialah sikapnya yang terlebih berani. Beberapa bulan selepas J (yang dalam pengajian peringkat diploma Sains Komputer) menjalani latihan, sebuah jabatan kerajaan meminta dibangunkan sebuah perisian komputer untuk kegunaan mereka. Sebaik sahaja saya mula berbincang dengan J untuk merancang pembangunan perisian itu, J dengan selamba menyuarakan, "Untuk program(perisian) ini, berapa encik nak jual kepada jabatan tu? Saya nak bahagian saya minima separuh daripada harga jualan encik!"

Mulanya saya sangka dia bergurau, tapi nyata bila ditanya beberapa kali, beliau memang serius. Huh, dalam hati saya berkata-kata. "Alahai, baru nak praktikal dah pandai nak mintak bayaran. Kerja pun belum tahu cantik mana, dah cuba tunjuk power!" Hasil program yang diciptanya tak berfungsi betul pun setelah lima bulan dikerjakan, namun tetap sibuk tanya "Bila encik nak bagi bayaran saya?" Disebabkan kes dia, saya tak pernah lagi dah ambil pelajar praktikal dari IPT itu, Serik sangat rasanya, cukuplah seorang itu.

Banyak lagi kesnya, terutamanya yang melibatkan pelajar praktikal. Ada yang selalu tidur di tempat tugasannya, tapi tak pula tahu malu bertanya-tanya di hujung bulan, "Encik, tak ada elaun ke untuk saya?" Ada yang tidak mahu membantu melayan pelanggan kerana katanya dia ditugaskan di bahagian lain. Ramai juga yang tidak mahu patuh arahan, tapi sibuk minta saya surat recommendation 'cemerlang' bila tamat latihan industri. Contohnya, pernah sekali itu seorang staf lelaki pergi menghantar barang tempahan sebuah jabatan dalam keadaan memakai cermin mata hitam dan topi beret di kepala.

Ada juga staf yang mencuri pelanggan perniagaan saya, dalam keadaan menggunakan kedai dan kemudahan saya. Kita yang bayar segala kemudahan, dia pula yang yang dapat keuntungan sedang gajinya juga ddibayar majikan. Macam-macam gelagat yang memalukan dan menjengkelkan. Padanlah ramai penganggur di kalangan orang Melayu, hatta graduan IPT sekalipun, andai inilah sikap yang diamalkan. Siapa yang mahu ambil orang-orang begini sebagai pekerja? Kalaupun diambil, majikan mana pula yang mahu simpan lama-lama pekerja yang macam ini?

Itulah antara pengalaman peribadi saya berhadapan dengan kerenah-kerenah negatif orang muda di perniagaan saya, Saya bentangkan pengalaman-pengalaman saya ini supaya orang-orang muda ambil pengajaran daripadanya. Buktikan kehebatan dan ketekunan kita dalam apa pun tugasan dan aktiviti hidup. Tunjukkan prestasi cemerlang di tempat kerja atau di manasahaja. Tunjukkan adab dan sopan dalam organisasi, dan pastikan tugasan yang diberikan kepada kita dibereskan dengan sempurna. Jangan jadi orang bermasalah dan jangan pula membawa masalah kepada orang lain. Ia boleh menjatuhkan maruah keluarga, bangsa dan agama.

Bagi orang muda yang berkerjaya, tak perlulah kita asyik  tanya majikan "Encik, bila saya nak naik gaji?" Jangan ingat soalan yang sebegitu menyebabkan orang akan mencapaikan hajat kita untuk naik gaji. Andai kita berjaya buktikan keupayaan dan kesungguhan kita dlam kerja, majikan yang waras dan prihatin tentu akan nyatakan sendiri, "A bin B, saya rasa awak dah layak untuk dinaikkan gaji!"

Apa yang penting, sentiasalah tingkatkan kualiti diri dan berikan sumbangan. Anda akan dapat ganjarannya, bila tiba masanya. Kalaupun kita kita tidak dapat kenaikan gaji atau kenaikan pangkat yang kita layak terima, yakinlah bahawa nilai diri kita tetap meningkat. Andai kita tinggalkan majikan yang menyekat peningkatan kita yang sepatutnya itu, ramai lagi majikan lain yang tahu menghargai keupayaan dan kesungguhan kita.

2 comments:

  1. Masalah sikap.. Adalah masalah yang paling terzahir khususnya di kalangan generasi muda. Sikap kepala batu, gopoh, dan tidak mahu mengakui kesalahan diri antara yang kurang enak dilihat. Ramai orang kasihan dengan pekerja, tetapi tidak ramai yang kasihan dengan majikan, yang juga banyak kesukarannya sendiri (jika majikan itu benar-benar jujur dan tidak berbuat zalim) kerana bukan sedikit juga pekerja yang menzalimi majikan. Kesimpulannya? La dororo wa la diroro. Kedua-dua pihak perlu menjalankan amanah dan memenuhi hak masing-masing. Itulah Islam. Dua-dua pihak ada hak perlu dipenuhi. Ibu bapa dan anak. Suami dan isteri. Penjual dan pembeli. Pemimpin dan rakyat. Kedua-duanya ada hak yang tidak boleh dizalimi.

    Mohon share ya Ustaz.. Saya akan nyatakan laman asal artikel ini..

    ReplyDelete
  2. Betul sekali, dalam banyak kes orang melihat pekerja teraniaya. Tapi sebenarnya tak kurang majikan yang dianiaya. Pengalaman-pengalaman saya ini hanya sekelumit daripada banyak isu yang dihadapi majikan.

    Majikan kadang-kadang berlembut dan tidak mahu terlalu berkira sangat supaya pekerja rasa 'selesa'. Namun hasrat baik majikan yang seperti ini selalunya diambil kesempatan oleh kakitangan dan orang bawahan yang tidak bertanggung-jawab. Saya setuju benar agar mana-mana pihak perlu menunaikan haknya terhadap orang lain yang berhak.

    Masyarakat Melayu perlukan anjakan paradigma. Walaupun Melayu itu secara otomatiknya Islam mengikut perlembagaan, kita kena pastikan Islam mendasari sikap dan tindak-tanduk kita.

    Bagi orang-orang muda yang mempunyai majikan, ingatlah bahawa majikan itulah tempat kita tumpang berteduh dan mencari rezeki. Bantu dan sokonglah majikan itu untuk naik lebih tinggi, bukan menjatuhkannya. Mudah-mudahan semakin tinggi pencapaian majikan itu, semakin murah rezeki kita sama.

    Kepada Muhammad dan yang lain yg ingin share, teruskan. Saya tiada halangan, insya Allah.

    ReplyDelete