InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Tuesday, July 17, 2012


Assalamualaikum wrwb.

Lama kita tak bertemu di alam maya blog ini. Banyaknya tugasan kerjaya dan juga sedikit dicuri tumpuan ke FB beberapa bulan ini. Untuk kali ini, saya pun tak berniat nak tulis panjang. Saya sekadar ingin kongsikan satu artikel 'satira' dari sebuah blog rakan yang bertajuk "Bapa Syarikat dan Anak Syarikat". 

Meskipun santai, ia mampu mencerahkan minda... satu pengkisahan tentang sikap sesetengah orang dalam berorganisasi. Mudah-mudahan jadi iktibar kepada orang-orang muda yang sedang bertatih dalam organisasi. Bacalah, dan baca terus sampai habis. Mudah-mudahan otak kita boleh diajak berfikir sekejap pagi ini... Moga kita dapat memilih dan mengamalkan sikap yang benar seperti dituntut Islam.

Selamat menyambut Ramadhan!

======================================

Bapa syarikat dan Anak syarikat

Sebuah syarikat besar di Malaysia, Mawar Segar (M) Berhad merupakan sebuah syarikat multinasional yang telah sekian lama wujud di Malaysia. Bisnes syarikat ini meliputi pengumpulan bahan-bahan mentah dan diproses untuk kegunaan di Malaysia dan antarabangsa. Sistem pemperosesan menggunakan templat/model yang dihasil an dipatentkan oleh sebuah syarikat antarabangsa IsoMetrico International yang telah lama wujud dan beroperasi di berpuluh-puluh negara.

Syarikat Mawar Segar telah menubuhkan pelbagai anak syarikat termasuk Nusa Harmoni Sdn Berhad, Seri Abadi Sdn Bhd dan Impian Murni Sdn Bhd.

Semua anak-anak syarikat ini pada mulanya sangat berdaya maju serta memenuhi kehendak Mawar Segar . Semua anak syarikat dikawal-selia dengan baik oleh Mawar Segar, memastikan semua berjalan mengikut perancangan bisness keseluruhan bagi mencapai matlamat KPI yang ditetapkan oleh IsoMetrico International. Semua anak syarikat diberikan bidang khusus (niche) masing-masing dan dengan itu operasi dan bidang tugas mereka tiada persaingan atau pertindihan dengan anak-anak syarikat yang lain, apa lagi dengan bapa syarikat mereka, Mawar Segar.

Sebagai syarikat milik penuh Mawar Segar , semua ahli Lembaga Pengarah Nusa Harmoni, Seri Abadi dan Impian Murni dilantik oleh Mawar Segar. Dari masa ke semasa, Lembaga Pengarah anak-anak syarikat ini dipanggil mengadap Lembaga Pengarah Mawar Segar bagi membentangkan perancangan dan prestasi masing-masing.

Ada kalanya, berdasarkan keperluan operasi, ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat di tukar ganti, dan dipindahkan dari satu anak syarikat ke anak syarikat yang lain. Ini tidak menimbulkan sebarang masalah kerana semua ahli Lembaga Pengarah taat dan sedia berkhidmat untuk Mawar Segar , bukan untuk kepentingan peribadi.

Tanpa disedari oleh pihak Mawar Segar, beberapa orang di kalangan pengurus dan ahli lembaga pengarahnya telah secara diam-diam menubuhkan sebuah syarikat lain dengan nama Ara Bestari Sdn. Bhd. Secara diam-diam juga, mereka telah berusaha membuat bisness yang hampir sama dengan Mawar Segar. Dan untuk mendapatkan platform yang lebih baik, mereka telah berkonspirasi bagi mengambil-alih secara senyap-senyap pengurusan dan Lembaga Pengarah Syarikat Seri Abadi Sdn. Bhd. Di samping itu, mereka telah menyingkirkan beberapa ahli Lembaga Pengarah Seri Abadi yang masih setia menjalankan bisnes asal yang ditetapkan Mawar Segar. Hasilnya, Seri Abadi akhirnya menjadi anak syarikat dan kuda tunggangan bagi Syarikat Ara Bestari Sdn. Berhad.

Selang beberapa lama Lembaga Pengarah Seri Abadi Sdn. Bhd mula mendakwa bahawa bapanya, Mawar Segar tidak begitu pandai mengurus bisness di Malaysia. Oleh itu, Lembaga Pengarah Seri Abadi yang kini tunduk kepada Ara Bestari Sdn. Bhd mula mengorak langkah untuk membesarkan aktiviti dan operasi syarikat Seri Abadi tersebut, tanpa merujuk kepada Mawar Segar . Seri Abadi mula mengembangkan operasi sehingga bersaing dan bertindih dengan Mawar Segar dan rakan-rakannya Nusa Harmoni dan Segar Murni.

Pihak Lembaga Pengarah Mawar Segar telah membuat beberapa tindakan bagi memperbetulkan keadaan dan cuba membawa Seri Abadi kepada fungsi dan peranan yang sepatutnya di mainkan. Namun semua itu tidak diendahkan.

Untuk menjaga keutuhan Syarikat dan tidak mahu menunjukkan perpecahan, Mawar Segar terpaksa bertolak-ansur dan kadangkala membiarkan Seri Abadi beroperasi sedemikian, walaupun menyalahi peraturan.

Untuk melaporkan operasi di peringkat IsoMetrico International, kadangkala Mawar Segar menghantar beberapa orang yang ada kalanya terdiri daripada ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat, termasuk ahli Lembaga Pengarah Seri Abadi. Malangnya, ahli Lembaga Seri Abadi menggunakan kesempatan ini untuk memburuk-burukkan bapa syarikat Mawar Segar di peringkat antarabangsa. Walaupun mereka dilantik oleh Lembaga Pengarah dan dibayar gaji oleh Mawar Segar, mereka sanggup menyebar fitnah bahwa Mawar Segar tidak melaksanakan bidang tugas yang diperuntukkan kepadanya seperti diperuntukkan oleh IsoMetrico International. Mereka menggunakan kesempatan perjalanan ke luar negara atas biayaan Mawar Segar untuk melobi agar IsoMetrico International menamatkan kontraknya dengan Mawar Segar dan menggantikannya dengan Seri Abadi sebagai wakil sah di Malaysia. Di samping itu mereka mengambil peluang untuk membuka cawangan-cawangan Seri Abadi Sdn. Bhd di beberapa negara asing.

Masa terus berlalu…

Oleh kerana bisnessnya semakin membesar, Seri Abadi menjadi semakin besar kepala. Pada satu ketika, ia mula membuat dakwaan di kalangan pelanggan-pelanggan baru bahawa Mawar Segar telah ditamatkan perkhidmatannya oleh IsoMetrico International. Diceritakan juga bahawa kononnya Seri Abadi kini telah mengambil alih peranan Mawar Segar dan diiktiraf sebagai wakil rasmi IsoMetrico International di Malaysia. Ia mula melaksanakan hal-hal yang sebelum ini dibuat oleh Mawar Segar, termasuk membuat kontrak-kontrak khas dengan pelanggan-pelanggan atas nama IsoMetrico International. Mereka juga melaksanakan program kesetiaan (loyalty program) berbentuk kad keahlian.

Setelah membuat semakan kepada IsoMetrico International, semakin jelas bahawa Seri Abadi sebenarnya membohongi pelanggan-pelanggan mereka. Pihak Lembaga Pengarah IsoMetrico International tidak pernah berbincang, apa lagi berhasrat untuk melantik Seri Abadi sebagai wakil di Malaysia kerana itu bertentangan dengan prinsip operasi IsoMetrico yang dilaksanakan di semua negara. IsoMetrico International yang mula risau dengan perkembangan yang tidak sihat itu telah menegur pimpinan Seri Abadi.

Beberapa nasihat dan surat diutus oleh Lembaga Pengarah IsoMetrico International kepada ahli Lembaga Pengarah Seri Abadi untuk menghentikan tindakan di luar disiplin dan memudaratkan keutuhan Syarikat payung Mawar Segar yang telah sekian lama wujud, dilesenkan oleh IsoMetrico International dan mempunyai sistem pengurusan yang sistematik dan mantap.

Akhirnya, pihak IsoMetrico menghantar wakil-wakil rasminya bagi menyelesaikan kemelut tersebut. Pihak ahli Lembaga Pengarah Seri Abadi telah dipanggil untuk memberi penjelasan terhadap aktiviti di luar sistem yang dilaksanakan mereka. Akhirnya semua yang hadir menandatangani satu surat yang antara lain menyebutkan persetujuan akujanji untuk setia bersama Mawar Segar dan Lembaga Pengarahnya serta menyokong semua peraturan dan strategi perniagaan yang ditetapkan.

Namun, dakwat tandatangan belum kering, kumpulan Lembaga Pengarah Seri Abadi telah bertindak melanggar akujanji mereka sendiri. Semua butiran-butiran akujanji dibakul-sampahkan.

Natijahnya, pihak IsoMetrico International memberi mandat kepada pengurusan Mawar Segar untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung kedegilan Seri Abadi yang masih dibuai dengan harapan mereka menjadi wakil rasmi IsoMetrico . Namun, harapan mereka semakin berkecai.

Pihak Lembaga Pengarah Mawar Segar memberi kata-dua kepada pihak Seri Abadi; terus menjadi anak syarikat Mawar Segar yang berdisiplin, kembali berganding tangan dan mengikut perancangan keseluruhan Mawar Segar atau bersedia untuk ditamatkan pertalian dengan Mawar Segar dan seterusnya IsoMetrico International. Oleh kerana khuatir akan kehilangan pengaruh dan pelanggan serta keinginan untuk menjadi juara, pihak Lembaga Pengarah Seri Abadi mengambil keputusan untuk terus menjalankan aktiviti haram mereka atas nama IsoMetrico International, walaupun tidak direstui oleh Syarikat mega antarabangsa tersebut.

Hasilnya, Mawar Segar membuat pengisytiharan kepada umum bahawa syarikat Seri Abadi Sdn Berhad yang dirampas secara haram oleh Ara Bestari Sdn Bhd kini dianggap sebagai bukan lagi anak syarikat yang sah Mawar Segar. Mawar Segar juga mengeluarkan semua saham daripada Seri Abadi dan mengarahkan semua anak-anak syarikat lain Mawar Segar agar tidak lagi membuat sebarang urusan bisness dengan Seri Abadi. Berdasarkan mandat dari IsoMetrico International, semua anak syarikat IsoMetrico di negara-negara lain juga sedang diarahkan untuk tidak lagi memberi kerjasama dengan aktiviti bisness Seri Abadi Sdn Berhad atau Ara Bestari Sdn Bhd di negara masing-masing.

Setelah dikenakan tindakan sedemikian, Seri Abadi membawa cerita kepada pelanggan-pelanggan dan rakan-rakannya bahawa ia dizalimi dan Mawar Segar telah bertindak seperti diktator, padahal tindakan yang terakhir ini terhasil setelah bertahun-tahun Seri Abadi menjalankan bisness haram di luar pengawasan dan pemantauan Mawar Segar. Ia dibuat setelah dinilai dan dinasihatkan dengan teliti oleh IsoMetrico International.

Apabila pembohongan mereka semakin terserlah dan ruang lingkup pergerakan haramnya mula menjadi semakin sempit, Seri Abadi mula membuat storyline yang lain iaitu menyalahkan Lembaga Pengarah Mawar Segar yang kononnya melobi IsoMetrico International agar tidak mengiktiraf Seri Abadi.

Sayangnya, Lembaga Pengarah Seri Abadi lupa bahawa untuk mengatakan Ahli Lembaga Pengarah IsoMetrico International boleh di’tipu’ kononnya oleh Lembaga Pengarah Mawar Segar adalah satu penghinaan kepada kewibawaan dan maruah IsoMetrico International. Adakah masuk logika akal pemimpin-pemimpin besar dan berpengalaman di dalam IsoMetrico International boleh termakan oleh kononnya ‘cerita-ceriti’ yang dibawa oleh pimpinan Mawar Segar ?

Mereka juga lupa bahawa pihak IsoMetrico International telah mempunyai pengalaman yang banyak menangani pelbagai kerenah anak-anak syarikat yang tidak berdisiplin di banyak negara lain. Mereka tahu siapa yang sebenarnya pembawa cerita dan siapa yang membawa fakta. Bak kata perpatah, bagi pengurusan IsoMetrico yang sangat arif dengan sepak terajang politik perpecahan, ‘Sekilas ikan di air, mereka sudah tahu jantan betinanya’.

Apabila storyline ini juga semakin tidak diyakini oleh pelanggan-pelanggannya, kisah terbaru pula dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah Seri Abadi iaitu “sebenarnya syarikat Seri Abadi tidak perlu mempunyai hubungan dengan IsoMetrico International. Walaupun mereka masih memasarkan produk dan perkhidmatan yang serupa dengan apa yang dibuat oleh IsoMetrico International dan Mawar Segar , mereka tidak perlu mendapat lesen dari IsoMetrico International untuk memasarkan produk tersebut, kerana produk yang baik itu milik semua orang.”

Pelanggan-pelanggan Seri Abadi yang bijak dan matang kini mula dapat menilai setiap perkembangan yang berlaku.

Sama-samalah kita saksikan…entah apa lagi helah dan storyline yang bakal muncul…

http://fikrah-dakwah.blogspot.com