InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Saturday, September 19, 2009

Salam Pertemuan Buat Orang-orang Muda Malaysia!

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat semua orang muda!

Dek kerana blog ini muncul menemui anda di 1 Syawal 1430H, maka saya juga ingin mengucapkan Salam Aidilfitri. Moga anda berbahagia dan bergembira di hari mulia ini. Ia tentu akan jadi memori besar buat saya memunculkan blog ini di Aidilfitri, mudah-mudahan dapat membincangkan dan mengutarakan perkara-perkara bersangkutan fitrah belia yang cemerlang dan hebat.

Cumanya, ingatlah yang kegembiraan itu juga ada batasnya; bukan gembira sembarangan, lepas bebas tanpa ikatan. Ringkasnya, bilapun dan dimanapun jua kita meraikan kegembiraan dan kejayaan, biarlah cara dan aktiviti yang dilakukan itu sesuai dengan akidah, kesopanan budaya timur serta melambangkan ketinggian jatidiri pelakunya. Tiada salahnya bergembira. Cuma betulkan saja caranya....

Betul? Salah? Mungkin kita akan bertanya pula, siapa nak tentukan cara mana yang betul dan cara mana pula yang salah? Bukankah kita ada kebebasan untuk memilih jalan hidup dan cara kita sendiri? Bukankah Islam juga mengisytiharkan "Tiada paksaan dalam beragama"?

Tahniah kerana anda masih berfikir. Sekurang-kurangnya anda mahu berfikir. Ramai belia yang ada di luar sana yang sudah berhenti berfikir. Bukanlah mereka itu langsung tidak berfikir, tapi berfikirnya mereka ini sudah jarang benar melebihi makan-pakai, sukan dan hiburan. Tentu saja sesiapapun di kalangan kita tak mungkin boleh jadi hebat dan cemerlang lagi dikenang orang kalau sekadar itu yang kita fikirkan.

Jadi, blog ini boleh jadi ruang untuk kita bersembang dan berbincang demi mengembangkan dan memantapkan pemikiran. Jom kita terus berfikir dan mengasah minda mencari kebenaran. Blog ini akan membawa kita berfikir sentiasa, kerana berfikir itu merupakan sebahagian ciri belia yang hebat di sepanjang lipatan sejarah manusia.

Meskipun blog ini belum ada konsep khusus, saya akan cuba menjadikannya menarik, insya Allah. Jadi, sudi-sudilah berkunjung ke mari bila anda ada masa atau bila anda ada kemusykilan. Saya sedia menerima dan memberi melalui blog ini.

Saya yakin benar bahawa masih ramai orang muda yang berminat dan suka berfikir macam-macam: yang ringan dan berat, yang simple dan yang hebat-hebat. Anda salah seorang daripada mereka ini, kan?

OK.... Kalau gitu, jumpa lagi di catatan seterusnya... Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidilfitri!