InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Monday, December 26, 2011

Selamat Tahun Baru?



SELAMAT TAHUN BARU!

"Selamat Tahun Baru, encik!". "Selamat Tahun Baru, kawan!". "Selamat Tahun Baru, abang!". "Selamat Tahun Baru, adik-adik". "Selamat Tahun Baru, Boss!". "Selamat Tahun Baru, Bro!". "Selamat Tahun Baru, semua!". "Guten jahre", kata orang Jerman. "Happy new year" pulak bagi yang berbahasa Inggeris.

Ramai dalam kalangan kita yang dah mula sampaikan ucapan-ucapan ini kepada orang di sekeliling. Ye lah, Disember dah sampai ke hujung; 1 Januari pulak dah hampir tiba. Tahun 2012 akan menjelang tak berapa hari lagi.

Kiranya masa yang kena lah untuk ucapan yang semacam ini. Kalau anda ucapkan ucapan itu pada bulan Mac nanti, tentu ramai yang akan ketawakan. Tambah pula kalau kita cuba lakukannya pada bulan Jun, Julai, dan seterusnya, Pasti akan ada yang terangkat kening atau berkerut dahi memandang anda, sambil menyoal balas, "Eh, kau sihat ke tak ni?", "Are you OK?" atau respon-respon yang seangkatan dengannya.
 
Ia sudah menjadi semacam norma hidup orang muda Malaysia sekarang ini. Kita sudah terbiasa dan dibiasakan menunggu kehadiran tarikh 1 Januari tiap-tiap tahun untuk ucap "Selamat Tahun Baru" kepada orang di sekeliling kita. Kalau lama pun selepas 1 Januari itu - andai terlambat tapi ingin diucapkan juga, setakat seminggu dua selepas itu masih OK. Selepas itu ia mungkin dianggap pelik, barangkali juga melucukan bagi sesetengah orang. Selepas itu kita mungkin akan lupakan tahun baru itu. Tak mustahil pula dilupakan sekali bersama dengan azamnya yang berjela-jela...

OK. Islam ajar kita untuk ucap salam dan sebarkan salam sepanjang tahun, sepanjang masa. Tiada masa tertentu untuk ucap selamat. Tidak pula dipopularkan oleh Nabi Muhammad untuk menunggu tahun baru mengikut kalendar Masehi itu, untuk dirangkaikan bersamanya ucap-ucap selamat itu.

Lagipun, sesuai ke konsep tahun baru ini dengan cara hidup Islam? Kita fikirkan sama-sama... boleh? Sekejap saja untuk beberapa minit. Harap-harap dengannya kerangka fikiran kita boleh diubah semula daripada mengikut kerangka Masehi, kebaratan, malah tidak keterlaluan jika saya kata unIslamic ini.

Satunya, kalendar tahun Islam bermula dengan Muharram bukan Januari. Jadi, mengapa kita memilih Januari untuk ucap Selamat Tahun Baru? Bukankah itu meniru orang Kristian namanya? Dan mengapa tidak kita ucapkan ucapan selamat dan doa selamat utk keluarga, sahabat dan kenalan semasa kehadiran Muharram? Malah kita tidak cenderung pun untuk bertekad dengan azam baru di malam 1 Muharram, andai saja kita sambutan tahun baru itu perlu diraikan setahun sekali?

Sebagai orang Islam kita memerhatikan keperluan melihat dan merasai bahawa setiap hari adalah baru. Setiap hari juga adalah kehidupan yang datang dan berlalu. Maka setiap hari juga perlu disambut dan dihayati dengan sepenuhnya demi kebaikan dunia dan akhirat. Maka setiap hari pula diterimapakai sebagai "Hari ini perlu lebih baik daripada semalam; Esok perlu lebih baik daripada hari ini". Andai ada azam untuk berubah kepada sifat, sikap dan amalan yang lebih baik, maka ia boleh dan wajar dilaksanakan bila-bila masa pun. Tak perlulah nak tunggu Tahun Baru!

Ucap selamat itu baik kalaupun diucapkan setiap hari. Kalau gitu, apa salahnya ucapan Selamat Tahun Baru yang agak terlewat sedikit, atau jauh terlewat melangkaui Januari? Kalau seseorang nak buat azam baru, bukankah boleh saja ditanam azam baru itu bila-bila pun juga? Tak semestinya nak mula pada 1 Januari tu, kan gitu?

Apa pun, ingatlah sebaik-baik tradisi dan gaya hidup yang perlu dijadikan tabiat adalah gaya hidup Islam. Manakala sebaik-baik ucapan adalah ucapan salam. Maka mari kita sebarkan salam sebanyak-banyaknya. Moga orang yang menerima ucapan salam kita itu selamat dan bahagia pada tahun hadapan ini, malah sehingga akhir hayatnya.

Satu yang penting. Andai kita rasa nak bertaubat dari kesalahan dan dosa, taubatlah sekarang dan azamlah terus untuk membina dan membaiki diri. Jadikanlah hari ini tahun yang baru dan hidup yang baru bagi anda. Pohonkanlah keselamatan dari Allah. Moga anda berbahagia di masa-masa yang ke hadapan ini, dunia dan akhirat! Jangan tunggu 1 Januari. Jangan tunggu bila-bila pun...

Perubahan yang baik perlu bermula sekarang, kerana esok belum tentu milik kita! Selamat Tahun Baru, Selamat Hari Baru, Selamat Sentiasa!

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sunday, December 11, 2011

Jom Pergi Shopping!


Ahhh... tahun 2011 dah sampai ke hujung. Tahun 2012 pula tak berapa hari akan menjelma. Ramai orang sedang relaks di hujung tahun ni. Ada yang sedang seronok cuti sekolah lebih sebulan. Ada pula yang sedang menghabiskan cuti tahunan, yang barangkali tak sempat dihabiskan di sepanjang tahun ini.

Bila ada peluang begini, jarang ada orang yang akan lepaskan peluang berehat. Sekurang-kurangnya dapat merehatkan otak yang biasa tertekan dengan tugasan di tempat kerja sepanjang tahun. Atau paling tidak dapat juga berubah angin untuk beberapa lama, keluar daripada suasana dan rutin harian yang menjemukan dan menumpulkan akal. Kerja kerja juga, tapi cuti tak boleh diketepikan... Dapat duit banyak pun kalau tubuh dan akal tak diberi kerehatan tak produktif juga!

Ke mana agaknya orang-orang muda Malaysia pergi bercuti? Mungkin ada yang balik kampung ziarah orang tua dan sanak saudara. Mungkin juga ada yang berekreasi. Mungkin juga ramai yang pergi ke LIMA baru-baru ni. Yang poket tebal luarbiasa mungkin juga bawa keluarga melancung ke luar negeri. Yang belajar di luar negeri mungkin pula sedang berada di tanahair utk menghabiskan cuti musim sejuk atau musim panas masing-masing.

Pergilah ke mana pun, dan buatlah apa pun. Yang penting cuti kita itu diredhai Allah tujuan dan aktivitinya. Cuba semak balik, agaknya Allah redha tak dengan tujuan dan aktiviti masa cuti kita? Ha, kan ada yang dah terlajak dan tersasar pada niat dan aktiviti cuti masing-masing.

OK lah, OK. Tapi, apa pulak kaitannya dengan "Jom Pergi Shopping" di atas tu? Sebenarnya tak ada hubungan secara langsung. Yang ada cuma sedikit kaitan dengan kita sekarang ni di Malaysia. Maksud saya, kebetulan kita dah bercuti, jom kita lapangkan sedikit masa untuk 'shopping'. Mungkin pelik sikit saranan saya, tapi rasanya sekarang adalah antara masa yang baik untuk membeli-belah. Ya, sekarang... dalam seminggu lebih sedikit ini. Sampai aja 20 haribulan atau lebih sedikit dari itu, harga barang tinggi kemungkinannya akan naik. Kalau tak naik banyak pun, tetap akan naik juga...

Kita semua tahu hujung tahun ni, kakitangan kerajaan (yang tua dan muda) akan dapat bonus minima RM500. Dan kita juga sudah arif sangat dengan gelagat penjual/pekedai yang akan menaikkan harga sewenangnya bila tahu orang dapat duit lebih. Bukanlah semua yang macam tu, tapi ramai yang tidak bertanggung-jawab dan kurang prihatin dengan keperluan hidup orang lain. Pantang dengar ada bonus, pasti mereka akan berfikir cara yang mudah dan cepat untuk mengaut semua lebihan duit itu dari kita. Dan duit yang nak dikaut tu bukanlah semuanya dari orang-orang yang berada dengan pendapatan bulanan yang berkepuk-kepuk. Ramainya yang sederhana atau sengkek macam kita ni lah...

Kiranya, memang peniaga yang cerdik lah mereka itu: ambil kesempatan mendapat untung di mana-mana boleh. Tapi kita pulak kena cerdik juga. Apa kata orang putih, kena 'outsmart' tindakan mereka ini. Mereka nak pasang jerat dan pukat masa kakitangan kerajaan (dan mungkin juga swasta yang besar-besar macam TNB, Petronas, Malakoff, dll) dapat duit bonus hujung bulan ni. Kita yang dah tahu mainan mereka, kenalah bertindak bijak untuk mengelak dijerat.

Jadinya, sambil bercuti tu, ambillah peluang untuk pergi 'shopping' sebelum 20-12-2011 ni. Luangkan satu dua hari khas untuk siapkan pakaian sekolah anak-anak, belikan hadiah untuk ibu-ayah dan juga pasangan kita. Mungkin juga sendiri pun dah lama tak tukar baju baru. Kebetulan tawaran (sale) Krismas rasanya sedang berjalan. Jangan tunggu saat akhir baru nak bertindak... nanti terjerat dengan harga yang bakal dinaikkan. Dek kesuntukan masa pada waktu itu, ramai yang akan membayar lebih dalam keterpaksaan lantaran sudah tiada pilihan.

Jadi, jom pergi shopping! Jangan sampai shopping sakan pulak sudahlah... Cuti, cuti juga... tapi sekarang ni duit macam raja. Selagi boleh usaha, kita kena berjimat dan berkira!

Selamat bercuti dan selamat shopping! Wassalamualaikum wrwb.

PRU13 Pada 11-03-2012?

Assalamualaikum wrwb.

Semalam semasa melakukan kunjungan ke sebuah pusat percetakan di Ipoh, sembang panjang jugaklah dengan tuan kedai. Maklumlah, masa tu hujan... jadinya seronoklah berborak sementara tunggu hujan reda. Pertama kali saya sampai ke situ dan pertama kali juga bertemu muka dengan pemilik pusat percetakan itu. Jadi, banyak jugaklah yang ditanya dan dibincangkan.

Masa sembang-sembang pasal percetakan ni, terkeluarlah secara spontan dari mulut pemilik pusat percetakan ni... Katanya, "Election Mac nanti, saya dapat tahu." Confident betul dia dengan cakap dia tu. Lepas tu dia tambah lagi, "Diorang sudah fix itu election date on 11th March, sebab PM suka dengan nombor 11. Dulu orang ingat dia mahu buat 11.1, tapi tak jadi. Sekarang saya rasa jadi lah". Dia pun terus tengok kalendar 2012 yang sedang dalam proses cetakan di beberapa meja. "Betullah, 11 Mac 2012 hari Ahad, betullah agaknya election on that day!" Ada masa nampak confident, ada masa macam agak-agak pulak... biar dia lah!

Memang PRU13 jadi bahan sembang ramai orang sejak sekian lama. Dengan bermacam isu yang timbul di negara kita, tarikhnya dan bermacam perkara yang berkaitan dengannya memang jadi bahan bualan (dan kadang jadi bahan ketawa) di merata tempat.

Apa pun, dah ready ke nak mengundi? Dah buat analisa ke isu-isu yang digembar-gemburkan sejak beberapa bulan ini? SEronok juga memikir dan berbincang tentang NFC (National Feedlot Corporation), kegilaan kepada nombor 11, isu fitnah seks, keceluparan pemimpin-pemimpin MCA dan DAP menentang hudud, isu rasuah yang belum habis-habis, Perkasa yang sibuk nak bersilat, kisah Prof Abdul Aziz Bari yang dah letak jawatan hasil mainan politik di UIA. Ada macam-macam lagilah...

Jom kita pikir-pikir .... nak undi siapa, ye?

Wednesday, August 3, 2011

Penipuan Pendaftaran Pengundi Secara Terancang Menjelang PRU13?

Assalamualaikum wrwb.

Dalam kesibukan aktiviti/program pemutihan pendatang asing di negara ini melalui 'sistem biometrik', timbul pula isu tentang kemungkinan aktiviti ini digunakan oleh pihak tertentu untuk melakukan penipuan dengan mendaftarkan PR (penduduk tetap) sebagai pengundi baru untuk PRU13 nanti.

Baru menerima email dari seorang sahabat yang rajin dan prihatin menyemak maklumat yang berkaitan. Berikut ini email beliau. Cuba baca dan telitikan:

>
>Penipuan BN yang telah mengubah "PR" kepada warganegara.........
>
>
>Pengundi baru: Pagi tadi PR, petang ini warganegara
>Kuek Ser Kuang Keng
>Ogos 2, 11
>4:05pm
>Kongsi 2938
Kurang empat jam selepas Malaysiakini melaporkan seorang penduduk tetap (PR)
yang memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru, dia
nampaknya telahpun menjadi warganegara.
>
>Dia kini mempunyai MyKad biru, berdasarkan semakan pada sistem dalam talian yang
>sama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mana butiran identifikasi dirinya
>direkodkan.
>
>Semakan pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali - pada jam
>5.48 petang semalam dan 11.30 pagi ini - menunjukkan nama Mismah adalah
>berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238), kad pengenalan
>bagi PR.
>
>Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian
>SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru.
>
>Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang ini
>menunjukkan hasil yang mengejutkan - Mismah telah menjadi warganegara dengan
>Mykad biru.
>
>Statusnya pada sistem pengesahan dalam talian SPR kekal sama pada jam 3 petang
>- pengundi yang baru berdaftar dalam senarai daftar tambahan pemilih yang
>dipamerkan oleh semakan umum.

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang kali menjamin bahawa tiada
>>>>warga asing dibenar berdaftar sebagai pengundi, sistem pengesahan Jabatan
>>>>Pendafaran Negara dan SPR menunjukkan sebaliknya.

>

Apa pandangan anda semua, orang-orang muda Malaysia yang cerdik pandai. Teringin saya nak dengar suara-suara orang muda tentang hal ini... Apa macam, boleh?

Monday, August 1, 2011

Penghormatan Terakhir Yang Tak Kunjung Tiba...

"Mana anak-anak jenazah ni?" Beberapa kali tukang mandi jenazah itu bertanya soalan yang sama.
"Dengarnya jenazah ni ada tiga orang anak lelaki. Mana dianya? Mandi dah selesai, kapan dah selesai... nak solat jenazah dah ni!" maklum makcik separuh umur itu. Jenazah yang siap dikafan itu sudahpun terkujur di atas troli mengarah ke kiblat menunggu disolatkan.

Bilik mandi jenazah Hospital Seri Manjung itu terasa suram dan menyayukan. Kami yang hadir di bilik mandi mayat Hospital Seri Manjung itu saling berpandangan. Aku terus menoleh kepada Busu (nama gelarannya), anak bongsu kepada jenazah itu. Nyata dia keletihan. Berdirinya pun sudah tidak begitu tetap. Rambutnya separuh kusut, manakala wajahnya kelihatan sugul dengan pandangan yang kosong. Pagi itu aku baru dapat maklumat bahawa ibunya telah meninggal dunia di hospital, sedang Busu sudah menunggu ibunya di wad sejak sehari dua sebelum itu. Dengan lambat dan lemah orang muda itu mengangkat tangannya separuh jalan.

"Makcik... sayalah anak jenazah ni, makcik" jawab Busu.
"Abang kamu lagi dua orang tu mana? Tadi masa angkat jenazah mak kamu dari bilik sebelah tu ada makcik nampak..."
Kami yang lain tak terkata apa-apa melainkan sekadar menepuk bahu Busu seolah-olah memintanya segera memanggil kedua-dua orang abangnya.
"Diorang ada di luar, makcik. Biar saya panggilkan...", sahut Busu sambil bergerak longlai ke ruang menunggu bilik mayat itu untuk mendapatkan abang-abangnya.

Melihatkan raut wajah Busu dalam suasana itu - sekaligus diselubungi kesunyian bilik mayat yang memang kelam dan suram - hatiku terasa pilu benar. Busu memang rapat dengan ibunya, itu yang aku tahu dari mulutnya sendiri. Ustazahnya di sekolah pun kata begitu juga. Sekarang tinggallah dia tiga beradik bersama dua lagi abangnya. Umurnya baru 20 tahun. Abang-abangnya kurang rapat dengannya. Ayahnya pula kurang ambil berat keadaan mereka sekeluarga.Di tempat kerja ayahnya bermasalah; di rumah pula ayahnya tidak ambil kisah.  Malah ibunya yang sudah sepagi meninggal dunia itu belum lagi dijenguk oleh ayahnya sampai saat untuk disolatkan. Masa ibunya mengidap barah, diberitakan tidak juga diendahkan sangat oleh bapanya. Aku faham benar andai semua ini yang berlegar di kepala dan benak Busu waktu itu.

Sejam dua lagi, jenazah ibunya akan dihantar ke kampung untuk dikebumikan. Tentu selepas itu Busu akan terkapai-kapai tanpa ibunya. Tiada lagi tempat mengadu seperti biasa. Tiada lagi tempat bermanja dalam keluarganya. Ayah sudah tidak ambil peduli, manakala abang-abang jarang sekali mahu diajak bersembang apatah lagi bergurau senda. Sukar juga membayangkan perasaan anak muda ini pada ketika itu. Namun, aku boleh merasakan kehambaran perasaannya.

Lamunanku terganggu bila Busu masuk semula ke bilik mandi jenazah itu. Ya... hanya dia sahaja yang datang. Sendirian. Aku melepaskan sandaranku di dinding, bersiap untuk berada semula dalam saf solat jenazah.

"Hah... Mana abang kamu, tak ada ke?" soal makcik tukang mandi jenazah itu. Pembantunya yang lelaki itu sudah bersedia di sisi jenazah untuk mengimamkan solat.
"Abang saya ada di luar, makcik. Diorang tak mahu masuk. Diorang suruh saya seorang aja solat jenazah untuk emak" ulas Busu, ringkas.
"Astaghfirullah alAzimmmmm...! Mengapa yang tak mahu solat sekali? Kan ini jenazah mak kamu?" keluh makcik tu.
"Ruh mak kamu ni masih belum ke mana lagi, tak ke diorang terasa nak solatkan emak sendiri?", makin serius makcik tu bertanya sambil menghadap Busu.
"Pergilah panggil semula abang kamu untuk solat sama... kesian mak kamu!"
"Tak mengapalah makcik... biarlah saya seorang yang solatkan jenazah emak ni. Saya dah ajak beriya dah tadi... tapi diorang tetap tak mahu. Kalau saya panggil lagi sekali pun rasanya takkan datang juga..." jawab Busu lemah.
"Kita solat ajalah berapa orang pun yang ada ni, pakcik" aju Busu kepada pembantu makcik itu.

Aku dan beberapa orang sahabat tak terkata apa-apa. Nak keluar memanggil abang-abangnya masuk, aku rasa kurang sesuai sebab mereka tidak biasa denganku. Baru hari itu dapat bersua muka. Aku rapat dengan Busu hasil hubungan dan interaksi dalam program KBM, tapi belum pernah bersua muka abang-abangnya sebelum ini. Kalau aku bertegas beria-ia, takut suasana makin keruh pula. Maka akhirnya hanya beberapa orang sahaja yang solatkan jenazah emak Busu. Hanya Busu bersama lima enam orang lain termasuk diriku. Abang-abangnya kekal di luar rumah mayat itu bersama kawan-kawan mereka yang datang berziarah.

Perasaan kasihan dan kesal  bercampur pilu mengenangkan sikap abang-abang Busu. Jenazah ibu yang terkujur kaku menunggu penghormatan terakhir daripada anak-anaknya yang tak kunjung tiba. Tak sanggup aku memandang tepat jenazah di atas troli itu. Yalah... selalu dalam KBM (Program Motivasi Keindahan Bersamamu) yang selalu aku kendalikan bersama sahabat-sahabat IKRAM, kami ada agenda membungkus dan mengusung jenazah. Cuma, dalam KBM jenazah itu jenazah hidup... seorang fasi dibungkus dalam kain kapan. Busu sendiripun pernah dibungkus sebagai jenazah itu. Jenazah yang kami bungkus itu masih bernafas dan boleh bersembang andai saja ingin diajak berbual.

Tak sanggup aku membayangkan bagaimana keadaan roh ibu Busu terperangkap di atas troli itu menunggu anak-anaknya datang untuk solatkan jenazahnya. Pilukah dia, sedihkah dia? Aku sendiri yang terharu memikirkan bagaimana anak-anak muda itu tidak berat untuk solat jenazah bersama kami. Pilu, kasihan, marah dan terharu bercampur-baur dalam kepalaku. Mungkinkah mereka tidak tahu aturan solat jenazah, atau memang tidak menghormati ibu yang sudah menghembuskan nafas terakhirnya?

Selesai solat jenazah dan menguruskan pemindahan jenazah ke van jenazah, aku segera minta diri untuk balik. Aku jadi tak tentu perasaan melihat jenazah itu, mengenagkan tindakan dua orang anaknya yang sangat tidak wajar. Semacam tiada perasaan mereka itu!

Anak-anak muda sekelian,

Aku harap kalian tidak bersikap seperti dua anak muda yang aku ceritakan di sini. Solat jenazah terhadap kedua orang tua sangat bermakna, terutamanya terhadap seorang ibu. Andai nanti ibu atau ayah kalian menghembuskan nafas mereka yang terakhir, harus - wajib - kalian berada dalam saf solat jenazahnya. Malah, patut sekali kalau kalianlah imam solat itu. Setidak-tidaknya, itulah penghormatan terakhir yang mampu ditunjukkan kepada ruh ibu atau ayah yang sudah sekian lama berjasa kepada kita.

Ambillah pengajaran. Andai terasa jahil tentang solat itu, maka belajarlah. Janganlah sampai terjadi seperti kisah ini, yang bakal menjatuhkan maruah dan martabat diri.

Saturday, June 11, 2011

Darah dan Daging Dari Mana?

"Tengok tu... muka-muka orang Islam penuh dalam restoran tu!", begitu luahan ku sewaktu melintasi sebuah restoran milik bukan Islam di kawasan ku. "Di seberang jalan tu ada pun restoran Islam. Tak sampai pun 30 langkah... Sedap masakannya, tapi tak nak pulak diorang ke situ makan tiap hari...!" tambahku lagi.

"Entahlah, pelik betul. Habis semua anak-isteri ada sama... Nampak tekun je makan, tak geli ke tekak diorang ni?", sahut isteriku di tempat duduk belakang.

"Tiap hari penuh sesak dengan orang Melayu nampaknya restoran tu... Yang berkopiah putih dan bertudung pun selalu ada!" tambah sahabatku di tempat duduk penumpang depan sambil menggeleng kepala dan menjuih bibir.

Aku memang runsing melihat gelagat orang-orang Islam ini. Tiap kali aku melintasi restoran-restoran bukan Islam selalu juga aku memerhati ke dalam restoran. Selalu aja ada orang Islam...yang muda ada, yang tua beruban pun ada... walaupun hampir semua restoran itu logo halal JAKIM memang tak ada pun. Selamba aja makan di mana mereka suka. Punya lah banyak restoran dan warung milik orang Islam, yang itu juga yang nak dikunjungi untuk mengisi perut. Tak sempatkah mereka berfikir waras sebelum melangkah keluar untuk makan?

Belum sampaikah gerak hati mereka untuk mencari makanan yang diyakini halalnya? Barangkali agenda utama adalah 'nak menjamu selera', maka pertimbangan halal-haram dan kesucian makanan jadi tenggelam? Yang penting, sedap.... yang lain belakang kira! Isy, isyy, isyyyyy....! Kalau seorang diri aja tu satu hal. Yang diangkut anak-isteri satu rumah datang makan di tempat yang tidak diyakini halal itu, apa pula ceritanya? Mungkinkah mesej 'Mencari makanan halal lagi suci wajib bagi setiap orang Islam' tak pernah sampai ke telinga, mata dan hati mereka? Atau... saja buat tak tahu dan tak nampak?

"You are what you eat". "Anda adalah apa yang anda makan". Oleh itu, kebersihan tubuh, minda dan jiwa bergantung kepada kesucian makanan yang kita makan. Ia malah lebih dari sekadar halal atau haram. Allah menyebutkan dalam ayat 114 Surah An-Nahl: "Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada kamu..."

Kalau anda berada di luar negara, terutamanya negara-negara barat - US, Britain, Perancis, Itali, dll - mungkin mengalami kesukaran mencari yang betul-betul meyakinkan. Mungkin tidak menghairankan sangat andai isu ini timbul dalam suasana begitu. Begitu pun, seorang saudaraku - seorang juruterbang MAS yang ambil berat pasal makanannya - selalu saja minta isteri bekalkan makanan halal bila dia terpaksa melakukan penerbangan yang lama ke Eropah. Begitulah bila akal yang memimpin, bukan nafsu... susah sikit tak mengapa, asal akal yakin ia bersih, asal hati yakin ia halal!

Tapi di negara ini, untuk mencari yang halal itu sudah bukan isu. Malah boleh memilih lagi yang mana sedap, yang mana bersih, yang mana bagus layanannya. Antara mahu dan tidak sahaja sebenarnya. Kata pepatah, nak seribu daya tak nak seribu dalih.

Orang -orang muda,

Ingatlah makan-minum itu akan menghasilkan darah dan daging. Ya, darah-daging anak dan isteri, serta keturunan yang seterusnya di bawah-bawah itu. Maka jauhilah kemungkinan darah-daging ini dari sumber yang tidak halal. Ini kerana setiap darah-daging yang terhasil dari makana-minum yang haram itu bakal menjadi isi neraka. Hati pulak jadi gelap, sukar nak melihat dan menerima kebenaran.

Jadi, zahirkanlah keprihatinan dan kasih-sayang kita kepada diri dan anak-isteri dengan menjaga kesucian makan-minum kita. Jadilah orang muda yang memilih - memilih untuk ke syurga, memilih untuk jadi orang yang hebat!

Wallahua'lam.


.... 10 Rejab 1432H


Friday, April 8, 2011

Orang Muda 'Umang-umang'

Assalamualaikum wrwb. Jumpa lagi setelah sekian lama tidak sempat mencoret di sini akibat kesibukan yang memenatkan.

OK, orang muda...

Seronok juga memerhatikan umamng-umang. Sesiapa sahaja yang pernah ke pantai hampir pasti pernah bersua dengan umang-umang (atau, dalam BI, 'hermit crab'). Ia makhluk laut tanpa isi dan  berkaki seperti ketam. Ia amat sinonim dengan hidup menumpang dari satu cengkerang kosong ke satu cengkerang kosong lain.

Hidupnya hanya dengan menumpang cengkerang tinggalan orang lain, namun hakikatnya ia jarang berpuashati dengan apa yang ada. Walaupun ia sendiri tiada isi, ia terus-menerus bertukar cengkerang kepada cengkerang yang lebih besar demi keselesaan dirinya. Anehnya ia tidak pula berusaha membina sendiri cengkerang yang diperlukannya. Yang ia tahu ialah bertukar dan bertukar dan bertukar. Cengkerang siapa, umang-umang tidak ambil pusing sangat... asal selesa buat dirinya. Belum tahu di mana dan bila ia akan berpuashati dengan cengkerang yang ia tumpangi. Andai didasarkan kepada sifat luaran cengkerang yang bertukar ganti itu, memang umang-umang tiada jatidiri... melainkan sebagai "penumpang yang gemar berpindah-randah".

Ramai juga di kalangan kita yang bersikap begini dalam hidup: Menumpang cengkerang orang lain tapi terus bertukar cengkerang akibat tidak puashati. Macam-macam yang tidak kena di mata kita terhadap cengkerang yang menjadi tempat menumpang kita itu. Itu tak kena, ini tak elok. Ada sahaja perkara yang tidak 'ngam' di mata dan hati kita. Banyak yang kita 'complaint', tapi malangnya kita tidak mahu terlibat memperbaiki keadaan cengkerang itu. Yang kita tahu hanya datang ke cengkerang orang lain dan mahu hidup selesa. Andai ada kekurangan, tuan punya cengkerang segera dipersalahkan kerana tidak selesanya hidup kita di situ. Ahh... difikir-fikir, lebih baiklah makhluk umang-umang itu berbanding kita. Yalah, walaupun dia tidak suka dan tidak selesa dengan cengkerang asalnya, dia hanya pindah ke cengkerang yang baru. Dia tak banyak 'complaint' macam kita ini!

Cuba fikirkan sikap dan gelagat kita sendiri... apakah kita seperti umang-umang? Jika kita berkerja di sebuah syarikat swasta, apakah kita kerap berpindah-randah lantaran rasa tidak puashati yang berpanjangan? Apabila kita terlibat dalam sesebuah NGO, apakah kita menyertainya kerana mahukan keselesaan diri dan meninggalkannya bila ada perkara-perkara yang tidak memuaskan hati kita? Dalam keluarga kita sekarang, apakah kita hanya memikirkan diri sendiri dan lari mencari tempat baru apabila ruang sudah terasa sempit bagi melayani keselesaan yang kita idamkan? Itu sekadar beberapa contoh. Silalah tambah contoh itu untuk disesuaikan dengan keadaan anda sekarang.

Apakah yang sudah kita lakukan untuk memperbaiki keadaan syarikat tempat kita menumpang rezeki itu? Apakah pula usaha yang sudah kita susun ke arah memantapkan pengurusan NGO yang kita sertai agar perjalanannya lebih mantap dan tersusun? Sebagai anggota sebuah keluarga, apakah pula sumbangan kita dalam membentuk keluarga berjaya, harmoni dan bahagia itu?

Wahai orang-orang muda,

'Complaint' memang mudah dan menyeronokkan. namun, jom kita jadi orang muda yang hebat, optimis, proaktif, dinamik dan produktif. Dalam keadaan apa pun kita berada sekarang, jadilah sebahagian daripada anasir yang membina kekuatan dan keutuhan organisasi yang kita tumpang. Baik ia sebuah syarikat, sebuah NGO, sebuah keluarga, mahupun apa sahaja. Elakkan menjadi orang yang hanya tahu keselesaan diri dan kesenangan hati sendiri sahaja. Lalu kita ambil sikap berpindah-randah seperti orang nomad. Kitalah yang sepatutnya membina, dan bukannya 'complaint' dan lari mencari 'cengkerang' baru yang belum tentu memuaskan hati.

'Complaint' boleh aja, tapi perlulah diiringi dengan usaha dan tindakan membina. Satu lagi, andai kita memang suka 'complaint', sedarlah bahawa masa yang cukup diperlukan untuk merawat banyak penyakit dan masalah. Janganlah harap masalah akan selesai dalam masa yang sangat singkat. Darah muda kita perlu disejukkan dengan kesabaran dan keikhlasan.

Asal saja perjuangan dan prinsip organisasi kita tidak menyalahi Islam, binalah dan mantapkan 'cengkerang' kita itu supaya ia utuh, bukannya runtuh disebabkan kita!

Moga-moga Allah melindungi kita daripada menjadi umang-umang darat. Wallahua'lam.