InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Monday, December 26, 2011

Selamat Tahun Baru?



SELAMAT TAHUN BARU!

"Selamat Tahun Baru, encik!". "Selamat Tahun Baru, kawan!". "Selamat Tahun Baru, abang!". "Selamat Tahun Baru, adik-adik". "Selamat Tahun Baru, Boss!". "Selamat Tahun Baru, Bro!". "Selamat Tahun Baru, semua!". "Guten jahre", kata orang Jerman. "Happy new year" pulak bagi yang berbahasa Inggeris.

Ramai dalam kalangan kita yang dah mula sampaikan ucapan-ucapan ini kepada orang di sekeliling. Ye lah, Disember dah sampai ke hujung; 1 Januari pulak dah hampir tiba. Tahun 2012 akan menjelang tak berapa hari lagi.

Kiranya masa yang kena lah untuk ucapan yang semacam ini. Kalau anda ucapkan ucapan itu pada bulan Mac nanti, tentu ramai yang akan ketawakan. Tambah pula kalau kita cuba lakukannya pada bulan Jun, Julai, dan seterusnya, Pasti akan ada yang terangkat kening atau berkerut dahi memandang anda, sambil menyoal balas, "Eh, kau sihat ke tak ni?", "Are you OK?" atau respon-respon yang seangkatan dengannya.
 
Ia sudah menjadi semacam norma hidup orang muda Malaysia sekarang ini. Kita sudah terbiasa dan dibiasakan menunggu kehadiran tarikh 1 Januari tiap-tiap tahun untuk ucap "Selamat Tahun Baru" kepada orang di sekeliling kita. Kalau lama pun selepas 1 Januari itu - andai terlambat tapi ingin diucapkan juga, setakat seminggu dua selepas itu masih OK. Selepas itu ia mungkin dianggap pelik, barangkali juga melucukan bagi sesetengah orang. Selepas itu kita mungkin akan lupakan tahun baru itu. Tak mustahil pula dilupakan sekali bersama dengan azamnya yang berjela-jela...

OK. Islam ajar kita untuk ucap salam dan sebarkan salam sepanjang tahun, sepanjang masa. Tiada masa tertentu untuk ucap selamat. Tidak pula dipopularkan oleh Nabi Muhammad untuk menunggu tahun baru mengikut kalendar Masehi itu, untuk dirangkaikan bersamanya ucap-ucap selamat itu.

Lagipun, sesuai ke konsep tahun baru ini dengan cara hidup Islam? Kita fikirkan sama-sama... boleh? Sekejap saja untuk beberapa minit. Harap-harap dengannya kerangka fikiran kita boleh diubah semula daripada mengikut kerangka Masehi, kebaratan, malah tidak keterlaluan jika saya kata unIslamic ini.

Satunya, kalendar tahun Islam bermula dengan Muharram bukan Januari. Jadi, mengapa kita memilih Januari untuk ucap Selamat Tahun Baru? Bukankah itu meniru orang Kristian namanya? Dan mengapa tidak kita ucapkan ucapan selamat dan doa selamat utk keluarga, sahabat dan kenalan semasa kehadiran Muharram? Malah kita tidak cenderung pun untuk bertekad dengan azam baru di malam 1 Muharram, andai saja kita sambutan tahun baru itu perlu diraikan setahun sekali?

Sebagai orang Islam kita memerhatikan keperluan melihat dan merasai bahawa setiap hari adalah baru. Setiap hari juga adalah kehidupan yang datang dan berlalu. Maka setiap hari juga perlu disambut dan dihayati dengan sepenuhnya demi kebaikan dunia dan akhirat. Maka setiap hari pula diterimapakai sebagai "Hari ini perlu lebih baik daripada semalam; Esok perlu lebih baik daripada hari ini". Andai ada azam untuk berubah kepada sifat, sikap dan amalan yang lebih baik, maka ia boleh dan wajar dilaksanakan bila-bila masa pun. Tak perlulah nak tunggu Tahun Baru!

Ucap selamat itu baik kalaupun diucapkan setiap hari. Kalau gitu, apa salahnya ucapan Selamat Tahun Baru yang agak terlewat sedikit, atau jauh terlewat melangkaui Januari? Kalau seseorang nak buat azam baru, bukankah boleh saja ditanam azam baru itu bila-bila pun juga? Tak semestinya nak mula pada 1 Januari tu, kan gitu?

Apa pun, ingatlah sebaik-baik tradisi dan gaya hidup yang perlu dijadikan tabiat adalah gaya hidup Islam. Manakala sebaik-baik ucapan adalah ucapan salam. Maka mari kita sebarkan salam sebanyak-banyaknya. Moga orang yang menerima ucapan salam kita itu selamat dan bahagia pada tahun hadapan ini, malah sehingga akhir hayatnya.

Satu yang penting. Andai kita rasa nak bertaubat dari kesalahan dan dosa, taubatlah sekarang dan azamlah terus untuk membina dan membaiki diri. Jadikanlah hari ini tahun yang baru dan hidup yang baru bagi anda. Pohonkanlah keselamatan dari Allah. Moga anda berbahagia di masa-masa yang ke hadapan ini, dunia dan akhirat! Jangan tunggu 1 Januari. Jangan tunggu bila-bila pun...

Perubahan yang baik perlu bermula sekarang, kerana esok belum tentu milik kita! Selamat Tahun Baru, Selamat Hari Baru, Selamat Sentiasa!

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment