InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Sunday, December 11, 2011

Jom Pergi Shopping!


Ahhh... tahun 2011 dah sampai ke hujung. Tahun 2012 pula tak berapa hari akan menjelma. Ramai orang sedang relaks di hujung tahun ni. Ada yang sedang seronok cuti sekolah lebih sebulan. Ada pula yang sedang menghabiskan cuti tahunan, yang barangkali tak sempat dihabiskan di sepanjang tahun ini.

Bila ada peluang begini, jarang ada orang yang akan lepaskan peluang berehat. Sekurang-kurangnya dapat merehatkan otak yang biasa tertekan dengan tugasan di tempat kerja sepanjang tahun. Atau paling tidak dapat juga berubah angin untuk beberapa lama, keluar daripada suasana dan rutin harian yang menjemukan dan menumpulkan akal. Kerja kerja juga, tapi cuti tak boleh diketepikan... Dapat duit banyak pun kalau tubuh dan akal tak diberi kerehatan tak produktif juga!

Ke mana agaknya orang-orang muda Malaysia pergi bercuti? Mungkin ada yang balik kampung ziarah orang tua dan sanak saudara. Mungkin juga ada yang berekreasi. Mungkin juga ramai yang pergi ke LIMA baru-baru ni. Yang poket tebal luarbiasa mungkin juga bawa keluarga melancung ke luar negeri. Yang belajar di luar negeri mungkin pula sedang berada di tanahair utk menghabiskan cuti musim sejuk atau musim panas masing-masing.

Pergilah ke mana pun, dan buatlah apa pun. Yang penting cuti kita itu diredhai Allah tujuan dan aktivitinya. Cuba semak balik, agaknya Allah redha tak dengan tujuan dan aktiviti masa cuti kita? Ha, kan ada yang dah terlajak dan tersasar pada niat dan aktiviti cuti masing-masing.

OK lah, OK. Tapi, apa pulak kaitannya dengan "Jom Pergi Shopping" di atas tu? Sebenarnya tak ada hubungan secara langsung. Yang ada cuma sedikit kaitan dengan kita sekarang ni di Malaysia. Maksud saya, kebetulan kita dah bercuti, jom kita lapangkan sedikit masa untuk 'shopping'. Mungkin pelik sikit saranan saya, tapi rasanya sekarang adalah antara masa yang baik untuk membeli-belah. Ya, sekarang... dalam seminggu lebih sedikit ini. Sampai aja 20 haribulan atau lebih sedikit dari itu, harga barang tinggi kemungkinannya akan naik. Kalau tak naik banyak pun, tetap akan naik juga...

Kita semua tahu hujung tahun ni, kakitangan kerajaan (yang tua dan muda) akan dapat bonus minima RM500. Dan kita juga sudah arif sangat dengan gelagat penjual/pekedai yang akan menaikkan harga sewenangnya bila tahu orang dapat duit lebih. Bukanlah semua yang macam tu, tapi ramai yang tidak bertanggung-jawab dan kurang prihatin dengan keperluan hidup orang lain. Pantang dengar ada bonus, pasti mereka akan berfikir cara yang mudah dan cepat untuk mengaut semua lebihan duit itu dari kita. Dan duit yang nak dikaut tu bukanlah semuanya dari orang-orang yang berada dengan pendapatan bulanan yang berkepuk-kepuk. Ramainya yang sederhana atau sengkek macam kita ni lah...

Kiranya, memang peniaga yang cerdik lah mereka itu: ambil kesempatan mendapat untung di mana-mana boleh. Tapi kita pulak kena cerdik juga. Apa kata orang putih, kena 'outsmart' tindakan mereka ini. Mereka nak pasang jerat dan pukat masa kakitangan kerajaan (dan mungkin juga swasta yang besar-besar macam TNB, Petronas, Malakoff, dll) dapat duit bonus hujung bulan ni. Kita yang dah tahu mainan mereka, kenalah bertindak bijak untuk mengelak dijerat.

Jadinya, sambil bercuti tu, ambillah peluang untuk pergi 'shopping' sebelum 20-12-2011 ni. Luangkan satu dua hari khas untuk siapkan pakaian sekolah anak-anak, belikan hadiah untuk ibu-ayah dan juga pasangan kita. Mungkin juga sendiri pun dah lama tak tukar baju baru. Kebetulan tawaran (sale) Krismas rasanya sedang berjalan. Jangan tunggu saat akhir baru nak bertindak... nanti terjerat dengan harga yang bakal dinaikkan. Dek kesuntukan masa pada waktu itu, ramai yang akan membayar lebih dalam keterpaksaan lantaran sudah tiada pilihan.

Jadi, jom pergi shopping! Jangan sampai shopping sakan pulak sudahlah... Cuti, cuti juga... tapi sekarang ni duit macam raja. Selagi boleh usaha, kita kena berjimat dan berkira!

Selamat bercuti dan selamat shopping! Wassalamualaikum wrwb.

No comments:

Post a Comment