InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Monday, August 1, 2011

Penghormatan Terakhir Yang Tak Kunjung Tiba...

"Mana anak-anak jenazah ni?" Beberapa kali tukang mandi jenazah itu bertanya soalan yang sama.
"Dengarnya jenazah ni ada tiga orang anak lelaki. Mana dianya? Mandi dah selesai, kapan dah selesai... nak solat jenazah dah ni!" maklum makcik separuh umur itu. Jenazah yang siap dikafan itu sudahpun terkujur di atas troli mengarah ke kiblat menunggu disolatkan.

Bilik mandi jenazah Hospital Seri Manjung itu terasa suram dan menyayukan. Kami yang hadir di bilik mandi mayat Hospital Seri Manjung itu saling berpandangan. Aku terus menoleh kepada Busu (nama gelarannya), anak bongsu kepada jenazah itu. Nyata dia keletihan. Berdirinya pun sudah tidak begitu tetap. Rambutnya separuh kusut, manakala wajahnya kelihatan sugul dengan pandangan yang kosong. Pagi itu aku baru dapat maklumat bahawa ibunya telah meninggal dunia di hospital, sedang Busu sudah menunggu ibunya di wad sejak sehari dua sebelum itu. Dengan lambat dan lemah orang muda itu mengangkat tangannya separuh jalan.

"Makcik... sayalah anak jenazah ni, makcik" jawab Busu.
"Abang kamu lagi dua orang tu mana? Tadi masa angkat jenazah mak kamu dari bilik sebelah tu ada makcik nampak..."
Kami yang lain tak terkata apa-apa melainkan sekadar menepuk bahu Busu seolah-olah memintanya segera memanggil kedua-dua orang abangnya.
"Diorang ada di luar, makcik. Biar saya panggilkan...", sahut Busu sambil bergerak longlai ke ruang menunggu bilik mayat itu untuk mendapatkan abang-abangnya.

Melihatkan raut wajah Busu dalam suasana itu - sekaligus diselubungi kesunyian bilik mayat yang memang kelam dan suram - hatiku terasa pilu benar. Busu memang rapat dengan ibunya, itu yang aku tahu dari mulutnya sendiri. Ustazahnya di sekolah pun kata begitu juga. Sekarang tinggallah dia tiga beradik bersama dua lagi abangnya. Umurnya baru 20 tahun. Abang-abangnya kurang rapat dengannya. Ayahnya pula kurang ambil berat keadaan mereka sekeluarga.Di tempat kerja ayahnya bermasalah; di rumah pula ayahnya tidak ambil kisah.  Malah ibunya yang sudah sepagi meninggal dunia itu belum lagi dijenguk oleh ayahnya sampai saat untuk disolatkan. Masa ibunya mengidap barah, diberitakan tidak juga diendahkan sangat oleh bapanya. Aku faham benar andai semua ini yang berlegar di kepala dan benak Busu waktu itu.

Sejam dua lagi, jenazah ibunya akan dihantar ke kampung untuk dikebumikan. Tentu selepas itu Busu akan terkapai-kapai tanpa ibunya. Tiada lagi tempat mengadu seperti biasa. Tiada lagi tempat bermanja dalam keluarganya. Ayah sudah tidak ambil peduli, manakala abang-abang jarang sekali mahu diajak bersembang apatah lagi bergurau senda. Sukar juga membayangkan perasaan anak muda ini pada ketika itu. Namun, aku boleh merasakan kehambaran perasaannya.

Lamunanku terganggu bila Busu masuk semula ke bilik mandi jenazah itu. Ya... hanya dia sahaja yang datang. Sendirian. Aku melepaskan sandaranku di dinding, bersiap untuk berada semula dalam saf solat jenazah.

"Hah... Mana abang kamu, tak ada ke?" soal makcik tukang mandi jenazah itu. Pembantunya yang lelaki itu sudah bersedia di sisi jenazah untuk mengimamkan solat.
"Abang saya ada di luar, makcik. Diorang tak mahu masuk. Diorang suruh saya seorang aja solat jenazah untuk emak" ulas Busu, ringkas.
"Astaghfirullah alAzimmmmm...! Mengapa yang tak mahu solat sekali? Kan ini jenazah mak kamu?" keluh makcik tu.
"Ruh mak kamu ni masih belum ke mana lagi, tak ke diorang terasa nak solatkan emak sendiri?", makin serius makcik tu bertanya sambil menghadap Busu.
"Pergilah panggil semula abang kamu untuk solat sama... kesian mak kamu!"
"Tak mengapalah makcik... biarlah saya seorang yang solatkan jenazah emak ni. Saya dah ajak beriya dah tadi... tapi diorang tetap tak mahu. Kalau saya panggil lagi sekali pun rasanya takkan datang juga..." jawab Busu lemah.
"Kita solat ajalah berapa orang pun yang ada ni, pakcik" aju Busu kepada pembantu makcik itu.

Aku dan beberapa orang sahabat tak terkata apa-apa. Nak keluar memanggil abang-abangnya masuk, aku rasa kurang sesuai sebab mereka tidak biasa denganku. Baru hari itu dapat bersua muka. Aku rapat dengan Busu hasil hubungan dan interaksi dalam program KBM, tapi belum pernah bersua muka abang-abangnya sebelum ini. Kalau aku bertegas beria-ia, takut suasana makin keruh pula. Maka akhirnya hanya beberapa orang sahaja yang solatkan jenazah emak Busu. Hanya Busu bersama lima enam orang lain termasuk diriku. Abang-abangnya kekal di luar rumah mayat itu bersama kawan-kawan mereka yang datang berziarah.

Perasaan kasihan dan kesal  bercampur pilu mengenangkan sikap abang-abang Busu. Jenazah ibu yang terkujur kaku menunggu penghormatan terakhir daripada anak-anaknya yang tak kunjung tiba. Tak sanggup aku memandang tepat jenazah di atas troli itu. Yalah... selalu dalam KBM (Program Motivasi Keindahan Bersamamu) yang selalu aku kendalikan bersama sahabat-sahabat IKRAM, kami ada agenda membungkus dan mengusung jenazah. Cuma, dalam KBM jenazah itu jenazah hidup... seorang fasi dibungkus dalam kain kapan. Busu sendiripun pernah dibungkus sebagai jenazah itu. Jenazah yang kami bungkus itu masih bernafas dan boleh bersembang andai saja ingin diajak berbual.

Tak sanggup aku membayangkan bagaimana keadaan roh ibu Busu terperangkap di atas troli itu menunggu anak-anaknya datang untuk solatkan jenazahnya. Pilukah dia, sedihkah dia? Aku sendiri yang terharu memikirkan bagaimana anak-anak muda itu tidak berat untuk solat jenazah bersama kami. Pilu, kasihan, marah dan terharu bercampur-baur dalam kepalaku. Mungkinkah mereka tidak tahu aturan solat jenazah, atau memang tidak menghormati ibu yang sudah menghembuskan nafas terakhirnya?

Selesai solat jenazah dan menguruskan pemindahan jenazah ke van jenazah, aku segera minta diri untuk balik. Aku jadi tak tentu perasaan melihat jenazah itu, mengenagkan tindakan dua orang anaknya yang sangat tidak wajar. Semacam tiada perasaan mereka itu!

Anak-anak muda sekelian,

Aku harap kalian tidak bersikap seperti dua anak muda yang aku ceritakan di sini. Solat jenazah terhadap kedua orang tua sangat bermakna, terutamanya terhadap seorang ibu. Andai nanti ibu atau ayah kalian menghembuskan nafas mereka yang terakhir, harus - wajib - kalian berada dalam saf solat jenazahnya. Malah, patut sekali kalau kalianlah imam solat itu. Setidak-tidaknya, itulah penghormatan terakhir yang mampu ditunjukkan kepada ruh ibu atau ayah yang sudah sekian lama berjasa kepada kita.

Ambillah pengajaran. Andai terasa jahil tentang solat itu, maka belajarlah. Janganlah sampai terjadi seperti kisah ini, yang bakal menjatuhkan maruah dan martabat diri.

No comments:

Post a Comment