InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Friday, September 10, 2010

Mungkinkah Kita Orang Muda Yang Materialistik?

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Ya, Ramadhan 1431H sudah berlalu dan Aidilfitri menjelang lagi. Namun, Ramadhan Shahrul Quran itu tetap meninggalkan peringatan dan pengajaran buat kita. Kalau kita ambil satu peringatan besarnya, cuba kita nilai kembali hubungan kita dengan Al-Quran itu sendiri…

Cuba kita bayangkan suasana apabila kakitangan-kakitangan kerajaan dihadapkan dengan ujian PTK (Penilaian Tahap Kecekapan). Maka beriya-iyalah mereka berusaha demi memastikan kejayaan. Harapannya mereka akan memperoleh keputusan memuaskan di tahap ‘4’. Dengannya lebih mudah naik pangkat, naik gaji, dan sebagainya. Ringkasnya, “cerah masa depan”. Sangat-sangat ingin dijauhi markah di tahap ‘1’, ‘2’ atau ‘3’. Maka, pelbagai manual dan buku panduan dibuka dan ditelaah demi kejayaan.

Begitu pula gelagat sebuah organisasi bila dibentangkan hasrat mencapai berbagai ISO. Banyak kajian, perbincangan serta aktiviti dilaksanakan bagi memastikan tahap piawaian ISO berkenaan dicapai. Pencapaian ini nantinya bakal membanggakan seluruh organisasi. Sekurang-kurangnya, rasa hebat dan megah anggota organisasi yang berjaya mencapai ISO berkaitan.

Demikian juga halnya para pelajar apabila menghadapi UPSR, PMR, SPM, STPM, MUET dan lai-lain lagi. Pelbagai nota, buku teks, buku rujukan, buku latihan dan kertas-kertas soalan peperiksaan tahun-tahun lepas dipelajari, ditelaah dan dikaji. Kalau boleh, tiada judul yang tidak dibeli dari mana-mana penerbit. Matlamatnya satu, kita mahu capai keputusan cemerlang dengan 6A, 9A, 12A, 6P, dan sebagainya. Biar berhabis duit, malah ramai yang sanggup bergolok-bergadai demi kecemerlangan ini.

Orang-orang muda yang dikasihi,

Benarlah, demi pencapaian keduniaan ini, kita sanggup bertungkus-lumus kerananya. Tidak menghairankan, lantaran kita semua memang mampu melakukannya. Keghairah kita mencari dan menghayati pelbagai rujukan dan manual melonjak naik, lantaran mahukan ganjaran kebendaannya: RM, pangkat, penghargaan, harta, dan lain-lain. Namun, di mana rujukan kita sebagai persediaan masa depan kita yang sebenar – di dunia dan akhirat? Apakah manual panduan kita? Apakah sudah kita telaah dan amalkan segala macam panduannya demi kejayaan yang cemerlang?

Setiap individu Muslim adalah pemimpin dirinya. Andai kita sudah berkeluarga maka bertambahlah pula tanggungjawab dan peranan sebagai pemimpin keluarga. Kita perlu dan berhak mengaplikasikan manual hidup yang sebaiknya untuk diri dan keluarga. Kita malah bertanggungjawab mengusahakan segala cara bagi memastikan kegemilangan serta keselamatan diri dan keluarga.

Sebagai orang Islam, Allah telah menurunkan al-Quran sebagai manual hidup kita. Ya, manual yang hebat, penuh informasi dan pengajaran. Tiada manual, ISO atau rujukan lain yang sempurna dan sehebatnya. Tiada manual lain yang tinggi ‘standard’nya. Isinya tetap, namun terbukti boleh menjadi rujukan yang flexible bagi memenuhi keperluan yang pelbagai. Isinya mengesahkan peristiwa-peristiwa silam; Susunan ayatnya memberi keterangan hal-hal yang berlaku kini. Ayat-ayatnya malah menjangkakan secara tepat perkara dan peristiwa yang bakal berlaku. Ia mengisahkan isu-isu yang zahir di pandangan mata dan deria bersekali hal-hal ghaib yang tak terjangkau fikiran kita. Ia malah mendahului keilmuan moden yang dibantu teknologi canggih sekalipun. Ia sebuah manual yang bukan hanya memperihalkan satu bidang atau cabang hidup sahaja, tetapi menceritakan segalanya dari alam roh hingga ke alam akhirat. Tiada siapapun yang mampu menunjuki jalan hidup kita sebegini tepat dan sebegini halus.

Namun, samakah keghairahan kita untuk membaca manual hidup ini? Bersungguhkah kita dalam percubaan memahami isinya? Berusahakah kita untuk mencapai serta menghayati standard tinggi yang disusun Al-Quran? Mengapa kita kelihatannya seperti seorang yang ‘double-standard’ dalam mengambil panduan hidup dari al-Quran?

Mungkinkah kita sudah hilang keyakinan dengan manual hebat ini? Atau, kita sudah menjadi individu materialistic – yang meletakkan keyakinan ‘seeing is believing’? Kita tidak berminat dengan apapun selain perkara-perkara yang membawa kepada peningkatan ‘RM’, harta, pangkat, keseronokan sahaja?

Jadi, jom buang jauh-jauh sikap materialistic yang makin mencengkam ini. Ia tak mungkin mengangkat kita ke tahap yang tinggi di mata kawan dan lawan. Orang-orang muda yang materialistic akan hanya dipermainkan, diperaalatkan dan diperlekehkan oleh musuh; pada masa yang sama akan menyusahkan dan memusnahkan masyarakat dan ummah pula. Orang muda yang materialistic akan jadi lembu yang dicucuk hidungnya. Rendah dan hina tarafnya di pandangan masyarakat dan musuh sekaligus.

Manual apakah yang kita pilih untuk memastikan masa depan dunia dan akhirat yang cerah? Manual-manual kepakaran dan keilmuan yang tertentu mesti dikuasai. Kita tidak mahu menjadi orang-orang muda yang lemah, bersikap alakadar, mundur, jumud ataupun menjadi pengguna dan pengikut semata-mata. Kita memang perlu cemerlang dalam setiap bidang penglibatan kita. Kita mahu menjadi hebat, gemilang dan berada di barisan hadapan kemajuan. Kita mahu menjadi pemimpin diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Namun, pada masa sama, kita ingin jadi orang muda yang disegani, dihormati malah digeruni. Sejarah Islam telah membuktikan setiap kita mampu menjayakan misi ini di penjuru dan bidang masing-masing. Apapun misi dan visi hidup kita, pastikan penguasaan Al-Quran tidak dikesampingkan.

OK. Siapapun kita sekarang, jom baca, fahami dan hayati Al-Quran. Moga Allah menunjuki kita semua!

2 comments:

  1. Salam orang muda Zain,
    Terima kasih di atas peringatan tentang materialistik. Memang tetap pandangan saudara malah ia cangkup seluruh tahap umur....yg muda belia,yg hampir tua, yg tua dan yg sudah tua.
    Saya minat ungkapan akhir saudara iaiti "jom baca, fahami dan hayati Al-Quran". Ada kata2 sindiran yang orang yg tak serious (rujuk kpd org Islam le tu) kalau baca pun tak mudah faham; kalau faham pun tak mampu hayati; kalau hayati pun tak terus amalkan; kalau amalkan pun tak akan sempurna..........haya sedikit motivasi untuk kita amalkan yg sempurna insyaAllah.

    Fadhil

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas komen saudara. Moga jadi peringatan untuk kita bersama untuk terus membaca, memahami dan menghayati al-Quran.

    Mulakan dulu dengan diri kita sendiri, kemudian keluarga dan masyarakat... Kita mahu generasi muda baru Islam yang hebat dan menyerlah jauh dari yang biasa!

    ReplyDelete