InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Wednesday, October 13, 2010

Integriti: Cakap Biar Serupa Bikin!

Letih sungguh mengerjakan tugasan networking komputer di SMK TLDM petang itu. Cuaca panas dan garing menyebabkan tekak terasa haus sebaik sahaja melangkah keluar dari makmal berhawa dingin itu. Terus kuhayunkan kaki menuju kantin sekolah, mencari penawar tekak yang kehausan.

Sebaik sahaja sampai di birai kantin, beberapa wanita penjaga kantin sedang sibuk melayani beberapa pelajar membeli air minuman. Berselera sungguh melihat air bungkusyang pelajar-pelajar itu beli... air Sunquick, air sirap limau dan jus epal. Ahh... rezeki, sesuai sungguh untuk membasah tekak.

Belumpun sempat aku bersuara, salah seorang daripada wanita-wanita itu datang hampir dan menegur, "Eh... Pak Ngah nak beli apa?" Aku terpaku sekejap, mungkin terlopong sedikit agaknya. "Akukah yang dimaksudkan dengan pertanyaan itu?", bisikku dalam hati. Aku rasa tak pernah kenal sesiapa di kantin ini, tapi nyata wanita tadi memang berdiri di depanku. "Mungkinkah wanita ini memang memaksudkan aku sebagai Pak Ngah itu?", getus hati kecilku.













Barangkali kerana melihat aku dalam keadaan tergamam, wanita itu terus bertanya lagi. "Pak Ngah nak buat kursus motivasi KBM di sekolah ini pulak ke?", soalnya ingin kepastian. "Oh... tak, tak. Hari ni saya datang untuk buat kerja network komputer di makmal dan di pejabat, bukan nak buat KBM. Inilah kerja sepenuh masa saya, kerja cari makan. Kursus motivasi tu saya terlibat secara sukarela aja", huraianku agak detail. Soalan keduanya tadi menunjukkan wanita tadi memang sudah mengenaliku melalui program motivasi KBM yang aku selalu kendalikan di hujung-hujung minggu bersama rakan-rakan IKRAM dan JIM di sekitar negeri Perak.

Dari perbualan lanjut dengannya, aku dapat tahu wanita itu adalah ibu kepada peserta KBM SAR An-Nuriah, Pangkalan TLDM Lumut ini. Tak lama bersembang, akupun memesan dua bungkus air Sunquick, untuk diri sendiri dan satu lagi untuk sahabat yang membantu di dalam makmal sana. Sejurus air diterima dan bayaran dibuat, akupun meminta diri untuk kembali menyambung kerja di makmal.

Kantin itu kutinggalkan sambil memikirkan berapa banyak mata di sekitar ku yang sedang memandang dan menilai diriku selama ini. Maksudku, sejak aku terlibat mengendalikan kursus motivasi KBM (singkatan kepada Keindahan Bersamamu). sudah ramai orang yang menegurku dengan nama "Pak Ngah" di jalanan. Biasanya ibu bapa peserta lah. Guru-guru pun begitu. Peserta memang akan menyapaku dengan nama itu.

Nama itulah yang aku gunakan semasa mengendalikan KBM di manapun, hingga ia digunakan semua orang semasa menegurku, termasuklah di luar lokasi program. Panggilan itu semacam lebih serasi disebut, berbanding namaku sendiri. Sebelum Ramadhan baru-baru ni, aku terlibat mengendalikan KBM Saudara-saudara Baru anjuran Baitulmal Negeri, habis semua saudara baru berbangsa Iban, Kadazan, Sikh, Cina, India, Orang Asli, dan lain-lain juga memanggilku "Pak Ngah".


Akupun tidak kisah, malah menyukai panggilan itu dari sesiapapun. Ia membuat aku tersenyum. Ya, panggilan Pak Ngah itu menggembirakanku. Terasa mesra dan rapat sekali dengan peserta kursus, ibu-ayah mereka dan juga dengan guru-guru sekolah yang pernah mengendalikan KBM. Cuma, kadang-kadang terasa malu lantaran tidak dapat mengecam sebahagian orang yang menyapaku dengan nama itu. Manakan tidak. Mereka mengenaliku, sedang aku gagal merakam nama dan wajah mereka dalam memoriku.

Apa yang pasti, ramai orang memerhatikanku kini. Tentu mereka menilai diriku dengan apa yang aku sampaikan di KBM, baik bersama pelajar mahupun dalam slot bersama ibu bapa. Apakah aku menepati apa yang aku sampaikan? Gementar juga mengenangkan hal itu. Betapa semakin banyak kita berkata-kata di khalayak ramai, makin terdedah diri ini kepada kritikan dan perhatian orang ramai. Andai tersilap langkah tentu jadi bahan cerita. Mungkin sekali jadi bahan fitnah. Maklumlah kita menyampaikan nasihat dan motivasi, tapi diri sendiri mungkin begitu dan begini. Ya Allah, peliharalah diriku supaya aku menghayati apa yang aku sampaikan kepada orang lain.

Kepada orang-orang muda, ingatlah betapa banyaknya mata yang memandang dan menilai kita. Pandangan mata manusia, malaikat dan Allah Maha Pencipta. Paling tidak, nama kita yang Islam akan membuat orang menilai sama ada padan atau tidak dengan penghayatan seharian dalam hidup. Lebih-lebih lagi kalau kita dipandang 'baik' dan 'alim' sikit dari ramai orang, apakah alim dan baik kita itu berlaku di semua tempat dan situasi. Atau hanya sekadar topeng 'cari makan', alimnya hanya di waktu dan tempat tertentu sahaja!

Aduhai orang-orang muda,

Kita membawa dan menggambarkan maruah diri kita dimana pun kita berada. Sama ada orang menilai atau tidak, tanggung jawab menjaga integriti diri terpikul sentiasa. Kalau kita rasa diri kita benar-benar bernilai dan bermutu tinggi, marilah buktikan di manapun dan bila pun jua. Cakap biar serupa bikin!

Setakat ni dulu. Jumpa lagi di coretan lain. Wassalamualaikum.

4 comments:

  1. Assalamualaikum warahmatullah,

    Teruskan dengan usaha saudara itu...terutamanya kepada peserta bukan Islam..

    Kalau begitu, mungkin boleh manfaatkan naskhah-naskhah percuma Surah Yasin dan Al Quran terjemahan yang diedarkan percuma oleh Darul Furqan, PTS; ditulis dalam bahasa mudah difaham walaupun penguasaan Bahasa Melayu sangat rendah...(juga terjemahan dalam bahasa Iban, Duzun, Kadazan, Kemboja dan lain-lain..)

    Kita saling bantu membantu dan memang perlu kepada bantuan organisasi lain yang memang pakar dalam bidang mereka; juga yang ada visi besar dan memiliki modal....Semoga Allah menerima segala usaha kita..Amin, Ya Rabbul Alamin...

    ReplyDelete
  2. Waalaikum salam.

    Seronok sebenarnya berinteraksi dengan saudara-saudara baru ini. Tambahan pula mereka yang terpilih ke program dulu tu adalah yang 'komited' dengan program mingguan mereka bersama Pejabat Agama Islam Daerah.

    Tapi mereka memang perlukan banyak bantuan dan sokongan. Andai ada yang boleh kita ikhttiarkan, tentu banyak faedahnya buat mereka.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum...

    Alhamdulillah, semoga segala usaha Pak Ngah dirahmati ALLAH..jarang dapat jumpa org mcm Pak Ngah..

    http://assalamualaikumkawan.blogspot.com/

    Kedai Buku Online(Menarik Di Sini)
    http://www.stormreaders.net/AzharRosAzmi

    Lebih Lanjut disini
    http://www.stormreaders.com

    ReplyDelete
  4. Terima kasih kerana sudi berkunjung dan beri komen.

    Kita ni kena buat apa yang perlu dibuat, kan gitu. Kalau tunggu orang lain, belum tentu ada yang buat. Paling tidak, dapatlah jadi perantaraan sampainya hidayah Allah.

    ReplyDelete