InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Saturday, June 11, 2011

Darah dan Daging Dari Mana?

"Tengok tu... muka-muka orang Islam penuh dalam restoran tu!", begitu luahan ku sewaktu melintasi sebuah restoran milik bukan Islam di kawasan ku. "Di seberang jalan tu ada pun restoran Islam. Tak sampai pun 30 langkah... Sedap masakannya, tapi tak nak pulak diorang ke situ makan tiap hari...!" tambahku lagi.

"Entahlah, pelik betul. Habis semua anak-isteri ada sama... Nampak tekun je makan, tak geli ke tekak diorang ni?", sahut isteriku di tempat duduk belakang.

"Tiap hari penuh sesak dengan orang Melayu nampaknya restoran tu... Yang berkopiah putih dan bertudung pun selalu ada!" tambah sahabatku di tempat duduk penumpang depan sambil menggeleng kepala dan menjuih bibir.

Aku memang runsing melihat gelagat orang-orang Islam ini. Tiap kali aku melintasi restoran-restoran bukan Islam selalu juga aku memerhati ke dalam restoran. Selalu aja ada orang Islam...yang muda ada, yang tua beruban pun ada... walaupun hampir semua restoran itu logo halal JAKIM memang tak ada pun. Selamba aja makan di mana mereka suka. Punya lah banyak restoran dan warung milik orang Islam, yang itu juga yang nak dikunjungi untuk mengisi perut. Tak sempatkah mereka berfikir waras sebelum melangkah keluar untuk makan?

Belum sampaikah gerak hati mereka untuk mencari makanan yang diyakini halalnya? Barangkali agenda utama adalah 'nak menjamu selera', maka pertimbangan halal-haram dan kesucian makanan jadi tenggelam? Yang penting, sedap.... yang lain belakang kira! Isy, isyy, isyyyyy....! Kalau seorang diri aja tu satu hal. Yang diangkut anak-isteri satu rumah datang makan di tempat yang tidak diyakini halal itu, apa pula ceritanya? Mungkinkah mesej 'Mencari makanan halal lagi suci wajib bagi setiap orang Islam' tak pernah sampai ke telinga, mata dan hati mereka? Atau... saja buat tak tahu dan tak nampak?

"You are what you eat". "Anda adalah apa yang anda makan". Oleh itu, kebersihan tubuh, minda dan jiwa bergantung kepada kesucian makanan yang kita makan. Ia malah lebih dari sekadar halal atau haram. Allah menyebutkan dalam ayat 114 Surah An-Nahl: "Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada kamu..."

Kalau anda berada di luar negara, terutamanya negara-negara barat - US, Britain, Perancis, Itali, dll - mungkin mengalami kesukaran mencari yang betul-betul meyakinkan. Mungkin tidak menghairankan sangat andai isu ini timbul dalam suasana begitu. Begitu pun, seorang saudaraku - seorang juruterbang MAS yang ambil berat pasal makanannya - selalu saja minta isteri bekalkan makanan halal bila dia terpaksa melakukan penerbangan yang lama ke Eropah. Begitulah bila akal yang memimpin, bukan nafsu... susah sikit tak mengapa, asal akal yakin ia bersih, asal hati yakin ia halal!

Tapi di negara ini, untuk mencari yang halal itu sudah bukan isu. Malah boleh memilih lagi yang mana sedap, yang mana bersih, yang mana bagus layanannya. Antara mahu dan tidak sahaja sebenarnya. Kata pepatah, nak seribu daya tak nak seribu dalih.

Orang -orang muda,

Ingatlah makan-minum itu akan menghasilkan darah dan daging. Ya, darah-daging anak dan isteri, serta keturunan yang seterusnya di bawah-bawah itu. Maka jauhilah kemungkinan darah-daging ini dari sumber yang tidak halal. Ini kerana setiap darah-daging yang terhasil dari makana-minum yang haram itu bakal menjadi isi neraka. Hati pulak jadi gelap, sukar nak melihat dan menerima kebenaran.

Jadi, zahirkanlah keprihatinan dan kasih-sayang kita kepada diri dan anak-isteri dengan menjaga kesucian makan-minum kita. Jadilah orang muda yang memilih - memilih untuk ke syurga, memilih untuk jadi orang yang hebat!

Wallahua'lam.


.... 10 Rejab 1432H