InsyaAllah... Ada Jalannya. InsyaAllah... Allah Akan Bersamamu!

Friday, April 8, 2011

Orang Muda 'Umang-umang'

Assalamualaikum wrwb. Jumpa lagi setelah sekian lama tidak sempat mencoret di sini akibat kesibukan yang memenatkan.

OK, orang muda...

Seronok juga memerhatikan umamng-umang. Sesiapa sahaja yang pernah ke pantai hampir pasti pernah bersua dengan umang-umang (atau, dalam BI, 'hermit crab'). Ia makhluk laut tanpa isi dan  berkaki seperti ketam. Ia amat sinonim dengan hidup menumpang dari satu cengkerang kosong ke satu cengkerang kosong lain.

Hidupnya hanya dengan menumpang cengkerang tinggalan orang lain, namun hakikatnya ia jarang berpuashati dengan apa yang ada. Walaupun ia sendiri tiada isi, ia terus-menerus bertukar cengkerang kepada cengkerang yang lebih besar demi keselesaan dirinya. Anehnya ia tidak pula berusaha membina sendiri cengkerang yang diperlukannya. Yang ia tahu ialah bertukar dan bertukar dan bertukar. Cengkerang siapa, umang-umang tidak ambil pusing sangat... asal selesa buat dirinya. Belum tahu di mana dan bila ia akan berpuashati dengan cengkerang yang ia tumpangi. Andai didasarkan kepada sifat luaran cengkerang yang bertukar ganti itu, memang umang-umang tiada jatidiri... melainkan sebagai "penumpang yang gemar berpindah-randah".

Ramai juga di kalangan kita yang bersikap begini dalam hidup: Menumpang cengkerang orang lain tapi terus bertukar cengkerang akibat tidak puashati. Macam-macam yang tidak kena di mata kita terhadap cengkerang yang menjadi tempat menumpang kita itu. Itu tak kena, ini tak elok. Ada sahaja perkara yang tidak 'ngam' di mata dan hati kita. Banyak yang kita 'complaint', tapi malangnya kita tidak mahu terlibat memperbaiki keadaan cengkerang itu. Yang kita tahu hanya datang ke cengkerang orang lain dan mahu hidup selesa. Andai ada kekurangan, tuan punya cengkerang segera dipersalahkan kerana tidak selesanya hidup kita di situ. Ahh... difikir-fikir, lebih baiklah makhluk umang-umang itu berbanding kita. Yalah, walaupun dia tidak suka dan tidak selesa dengan cengkerang asalnya, dia hanya pindah ke cengkerang yang baru. Dia tak banyak 'complaint' macam kita ini!

Cuba fikirkan sikap dan gelagat kita sendiri... apakah kita seperti umang-umang? Jika kita berkerja di sebuah syarikat swasta, apakah kita kerap berpindah-randah lantaran rasa tidak puashati yang berpanjangan? Apabila kita terlibat dalam sesebuah NGO, apakah kita menyertainya kerana mahukan keselesaan diri dan meninggalkannya bila ada perkara-perkara yang tidak memuaskan hati kita? Dalam keluarga kita sekarang, apakah kita hanya memikirkan diri sendiri dan lari mencari tempat baru apabila ruang sudah terasa sempit bagi melayani keselesaan yang kita idamkan? Itu sekadar beberapa contoh. Silalah tambah contoh itu untuk disesuaikan dengan keadaan anda sekarang.

Apakah yang sudah kita lakukan untuk memperbaiki keadaan syarikat tempat kita menumpang rezeki itu? Apakah pula usaha yang sudah kita susun ke arah memantapkan pengurusan NGO yang kita sertai agar perjalanannya lebih mantap dan tersusun? Sebagai anggota sebuah keluarga, apakah pula sumbangan kita dalam membentuk keluarga berjaya, harmoni dan bahagia itu?

Wahai orang-orang muda,

'Complaint' memang mudah dan menyeronokkan. namun, jom kita jadi orang muda yang hebat, optimis, proaktif, dinamik dan produktif. Dalam keadaan apa pun kita berada sekarang, jadilah sebahagian daripada anasir yang membina kekuatan dan keutuhan organisasi yang kita tumpang. Baik ia sebuah syarikat, sebuah NGO, sebuah keluarga, mahupun apa sahaja. Elakkan menjadi orang yang hanya tahu keselesaan diri dan kesenangan hati sendiri sahaja. Lalu kita ambil sikap berpindah-randah seperti orang nomad. Kitalah yang sepatutnya membina, dan bukannya 'complaint' dan lari mencari 'cengkerang' baru yang belum tentu memuaskan hati.

'Complaint' boleh aja, tapi perlulah diiringi dengan usaha dan tindakan membina. Satu lagi, andai kita memang suka 'complaint', sedarlah bahawa masa yang cukup diperlukan untuk merawat banyak penyakit dan masalah. Janganlah harap masalah akan selesai dalam masa yang sangat singkat. Darah muda kita perlu disejukkan dengan kesabaran dan keikhlasan.

Asal saja perjuangan dan prinsip organisasi kita tidak menyalahi Islam, binalah dan mantapkan 'cengkerang' kita itu supaya ia utuh, bukannya runtuh disebabkan kita!

Moga-moga Allah melindungi kita daripada menjadi umang-umang darat. Wallahua'lam.